KUALA LUMPUR – Tiada sesiapa pun boleh menjangka atau menentukan keputusan pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia sama ada anggota kerajaan mahupun pembangkang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana tiada siapa pun boleh mengurus dan menjangka pertanyaan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam pendengaran PAC.
“Anggota-anggota pembangkang dalam PAC biasanya akan menyoal siasat saksi-saksi dalam pendengaran-pendengaran PAC.
“Mereka hanya akan berhenti setelah tiada lagi soalan yang hendak ditanya, dan inilah yang sepatutnya berlaku!
“Tiada siapa pun yang boleh menjangka atau menentukan keputusan pendengaran PAC, kerana tiada siapa pun boleh mengurus dan menjangka apakah yang akan ditanya oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam pendengaran PAC. Ianya mustahil!” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Abdul Rahman, keputusan pendengaran PAC sukar ditentukan apatah lagi apabila anggota kerajaan dan pembangkang sebulat suara meletakkan kelemahan pengurusan 1 Malaysia Development Bhd. (1MDB) ke atas pihak pengurusan syarikat pelaburan strategik itu.
“Sekiranya benar saksi telah dilatih atau wujudnya pakatan, kenapakah anggota-anggota PAC (dari BN dan PH) sebulat suara telah bersetuju meletakkan tanggungjawab kelemahan pengurusan 1MDB, di atas bahu pihak pengurusan syarikat.
“Di mana bekas ketua pegawai eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi merupakan sebahagian daripadanya.
“Apa pun, kes ini masih berlangsung di mahkamah dan kita harus menunggu soalan balas terhadap saksi tersebut sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan,” katanya. – MalaysiaGazette