Home Politik Zahid tak hadir Kongres Maruah Melayu

Zahid tak hadir Kongres Maruah Melayu

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak akan hadir pada Kongres Maruah Melayu pada Ahad ini atas alasan mempunyai komitmen melibatkan parti di peringkat nasional dan negeri.

Sebaliknya, parti itu akan menghantar beberapa orang wakil ke kongres tersebut yang akan diketuai setiausaha agungnya, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Ahmad Zahid, surat jemputan kepadanya untuk menghadiri kongres itu baru sahaja diterima menerusi Majlis Tertinggi UMNO petang semalam.

“Saya telah mempunyai komitmen awal untuk menghadiri Konvensyen UMNO Melaka dan merasmikan Pemukiman Puteri UMNO untuk seluruh negara pada tarikh yang sama.

“Pada hari itu, saya ada program berbentuk nasional dan negeri dan ia telah dirancang lebih awal,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO membuat keputusan untuk hadir pada kongres berkenaan selepas merasakan ia merupakan satu undangan ke program yang dianjurkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan NGO
dan perlu dihormati.

Kongres anjuran empat universiti awam itu – Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) – akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disahkan akan merasmikan kongres tersebut dan akan menyampaikan amanatnya.

Kongres itu juga mensasarkan sehingga 20,000 peserta dibuka hanya kepada orang Melayu tanpa mengira fahaman politik sama kerajaan mahupun pembangkang.

Ia dianjurkan selepas Himpunan Perpaduan Ummah yang menyaksikan Pas dan UMNO berkongsi pentas dan menandatangani Piagam Muafakat Nasional. – MalaysiaGazette