Home Politik UMNO tunda PAU 2019 demi PRK Tanjung Piai

UMNO tunda PAU 2019 demi PRK Tanjung Piai

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang sepatutnya bermula pada 13 hingga 16 November ditukar ke tarikh baharu iaitu 4 hingga 7 Disember depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung sebentar tadi, susulan bagi memberi peluang kepada seluruh jentera parti menumpukan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang ditetapkan pada 16 November.

Katanya, langkah itu diambil ekoran pada tarikh sama iaitu 16 November Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telahpun menetapkan berlangsungnya PRK berkenaan.

“Kami telah memutuskan bahawa satu tarikh baharu telah disepakati di mana Perhimpunan Agung UMNO 2019 akan diubah kepada 4 hingga 7 Disember.

“Dan, kami akan menentukan bahawa seluruh jentara UMNO dan BN akan ditumpukan di Tanjung Piai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, Barisan Nasional (BN) akan meletakan calon untuk bertanding pada PRK tersebut.

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu telah dilakukan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ujarnya, pada masa ini, satu kajian menyeluruh mengenai PRK tersebut sedang dilakukan dan rumusan mengenai perkara itu akan dimaklumkan kelak.

Selasa lalu, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan tarikh 16 September sebagai tarik mengundi bagi PRK Tanjung Piai.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November manakala, pengundian awal akan diadakan pada 12 November.

PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Md Farid, seorang pakar bius daripada Pakatan Harapan-Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas). Jeck Seng memperoleh 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi. – MalaysiaGazette