Home Ekonomi PNB kaji semula Pelan Strategik STRIVE-15

PNB kaji semula Pelan Strategik STRIVE-15

PUCHONG – Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan meneliti semula Pelan Strategik STRIVE-15 2017-2022 sama ada wujud keperluan untuk ditambah baik di masa depan dengan mengambil kira landskap pulangan pelaburan yang rendah di peringkat global serta isu geopolitik semasa.

“PNB sebelum ini menetapkan tempoh pertengahan penggal STRIVE-15 untuk semakan semula dan ketika ini kami melaksanakan penyemakan semula pertengahan penggal dan akan melihat apa yang kami telah persetujui dan telah dicapai.

“Secara asasnya, STRIVE-15 akan konsisten dengan butiran yang kami maklumkan untuk dilaksana tiga tahun lepas,” menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan yang baru dilantik, Jalil Rasheed kepada pemberita selepas pusingan akhir Kuiz Pelaburan PNB dan majlis penyampaian hadiah di sini hari ini.

PNB STRIVE-15 merangkumi tiga teras iaitu meningkatkan pulangan secara mapan, pengurusan pelaburan yang berkesan dan memacu kecemerlangan operasi.

Ditanya sama ada PNB akan terus melabur di pasaran ekuiti bagi beberapa pasaran maju dan pesat membangun, Jalil berkata:
“Ia sebenarnya sangat kritikal bagi kami… aset PNB di bawah nilai pengurusan hari ini berjumlah RM300 bilion dan pasaran di Malaysia bukan sahaja luas malah agak dalam.

“Kita mempunyai pelbagai tugas di Malaysia termasuk melabur di syarikat-syarikat tempatan, selain memainkan peranan besar untuk membangunkan ekosistem, namun, kita perlu mula melihat persekitaran luaran. Kita telah mula melabur di luar negara dan akan meneruskannya,” kata beliau.

Beliau berkata, PNB perlu mempelbagaikan pelaburan, khususnya kelas aset tunggal yang lebih banyak dan di Malaysia.

“Kita perlu memikirkan semula bagaimana (peruntukan itu) dibuat dan geografi bersesuaian untuk kita melabur.

“Mengenai enam pengurus dana global, kami belum melantik sesiapa, namun, bekerjasama dengan beberapa pengurus aset global mengenai beberapa kelas aset,” katanya. – MalaysiaGazette