Home Dunia Pepsi tinggalkan pasaran Indonesia

Pepsi tinggalkan pasaran Indonesia

JAKARTA- PepsiCo dan pengedar minuman tersebut di Indonesia, Anugerah Indofood Barokah Makmur bersetuju untuk menamatkan perjanjian pengedaran pada 10 Oktober ini.

Sejak hujung September lalu, pengedaran jenama air berkarbonat Amerika Syarikat itu dilaporkan semakin merosot sehingga menimbulkan khabar angin yang jenama tersebut bakal meninggalkan pasaran Indonesia dalam masa terdekat.

Menurut laporan Tirto yang diterbitkan bulan lepas, minuman Pepsi dalam tin dan botol plastik 1.5 liter sudah tidak dijual di kedai-kedai serbaneka di Jakarta dan ketika ditemubual, para pekerja memberitahu, kedai mereka sukar untuk mendapatkan bekalan sejak tiga bulan lalu.

Minggu lepas, Tirto turut melaporkan, PT Sumber Alfaria Trijaya yang mengendalikan rangkaian kedai serbaneka telah mengeluarkan produk Pepsi daripada kedai mereka berikutan tidak menerima sebarang maklumat daripada pengedar-pengedar minuman berkenaan sejak sekian lama.

Tempo pula melaporkan, tiga kedai serbaneka utama di Tangerang sudah tidak lagi menjual Pepsi.

Rangkaian restoran makanan segera Pizza Hut dan KFC di Indonesia mengesahkan kontrak mereka dengan Pepsi berakhir bulan ini dengan beberapa restoran sudah pun menghidangkan minuman daripada pesaingnya, Coca-Cola kepada pelanggan.

“Pepsi akan digantikan secara beransur-ansur dengan Coca-Cola sehingga hujung Oktober ini,” kata Pengarah PT Sarimelati Kencana, Joe Sasdanto.

Sarimelati merupakan pemegang francais Pizza Hut di Indonesia.

“Setakat ini, kami masih mempunyai stok Pepsi yang mencukupi. Kami akan menggunakan Coca-Cola apabila kontrak tamat. Beberapa bulan lalu, Pepsi memberitahu kami mereka mahu memberi fokus kepada negara-negara lain selain Indonesia.

“Disebabkan itu, kontrak dengan kami juga akan berakhir hujung bulan ini,” kata Pengarah PT Fast Food Indonesia yang merupakan pemegang francais KFC Indonesia, Justinus Dalimin.- MalaysiaGazette