Home Ekonomi AirAsia tuntut hampir RM479.78j terhadap MASSB

AirAsia tuntut hampir RM479.78j terhadap MASSB

AirAsia
AirAsia

SEPANG – AirAsia memfailkan tuntutan sebanyak RM479.78 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu terhadap Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), anak syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Tuntutan terhadap MASSB adalah untuk kerugian dan kerosakan yang dialami oleh AirAsia Berhad dan syarikat penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Berhad disebabkan oleh kecuaian MASSB dalam pengurusan, operasi, penyelenggaraan dan penyediaan perkhidmatan dan kemudahan lapangan terbang di klia2.

MASSB adalah anak syarikat milik penuh MAHB yang bertanggungjawab untuk menguruskan dan mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

AirAsia dan AirAsia X sebelum ini telah memohon pengantaraan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bagi pertikaian dengan MASSB, selaras dengan Seksyen 74 hingga 78 Akta Mavcom.

Akan tetapi, Mavcom enggan menjadi pengantara, dan percubaan seterusnya oleh AirAsia untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap tindakan Mavcom telah ditolak.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Berhad Benyamin Ismail berkata, syarikat itu tidak mahu mengambil tindakan itu tetapi Malaysia Airports dan Mavcom tidak memberi pilihan lain.

“Kami telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian dengan baik menerusi saluran yang betul tetapi kami terpaksa memfailkan tuntutan ini kerana kami tidak mempunyai cara yang lain untuk melindungi kepentingan kami.”

“Pertikaian ini bermula apabila Malaysia Airports telah memfailkan saman sivil terhadap kami bagi Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) selepas menolak tawaran pengantaraan kami.

“Kami sentiasa terbuka untuk menyelesaikan sebarang isu dengan rakan perniagaan kami secara baik, dan kami masih merasakan bahawa Malaysia Airports tidak patut memfailkan saman tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette