Home Nasional Timbang semula cadangan elaun kritikal untuk JBPM – Lam Thye

Timbang semula cadangan elaun kritikal untuk JBPM – Lam Thye

Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye.. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan diharap menimbang semula cadangan meningkatkan kebajikan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk elaun kritikal untuk jabatan itu.

Aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, oleh kerana elaun kritikal tidak dapat diberikan pada tahun ini, kerajaan diharap dapat memasukkannya bersama cadangan kenaikan gaji bagi anggota JBPM dalam Belanjawan 2020.

Menurutnya, cadangan untuk meningkatkan kebajikan anggota bomba perlu disokong oleh semua pihak kerana tugas pasukan itu kini lebih mencabar sebagaimana agensi penting lain.

“Elaun kritikal tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 14,000 warga JBPM di seluruh negara. Dilaporkan jika elaun tersebut diluluskan, sejumlah RM18 juta diperlukan untuk diedarkan kepada anggota bomba pada kadar RM200 seorang sebulan.

“JBPM juga bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan kebakaran serta menyediakan perkhidmatan bantuan kemanusiaan yang cekap dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee turut merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini yang menyatakan keprihatinan Seri Paduka terhadap keperluan meningkatkan kebajikan anggota bomba termasuk menyediakan elaun kritikal.

Kata Lee, kerajaan harus menyediakan peruntukan mencukupi bagi pembangunan sumber manusia JBPM supaya mereka mempunyai kemahiran teknikal untuk menangani sebarang kes kecemasan termasuk untuk membeli jentera, peralatan canggih serta peralatan perlindungan diri (PBE) terkini.

“Saya juga berharap usaha berterusan dapat dilakukan untuk memperbaiki tempat kerja dan perumahan anggota bomba serta keluarga mereka supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja sementara keluarga mereka pula dapat hidup dalam suasana yang kondusif,” katanya.

Kata Lee lagi, kematian tragis anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dan kejadian lemas yang mengorbankan enam anggota bomba pada Oktober tahun lepas adalah beberapa insiden para wira yang tidak didendang telah mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan orang lain.

— BERNAMA