SEPANG – Polis menumpaskan kumpulan samun dikenali ‘Geng Rooban’ selepas menahan lima lelaki tempatan termasuk ketuanya yang aktif melakukan jenayah itu di sekitar Selangor pada 12 April lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata, dengan kejayaan itu, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun kedai serbaneka 24 jam, samun rumah dan mencuri kenderaan di sekitar Sepang, Banting dan Klang.
Katanya, kumpulan yang aktif sejak September tahun lepas itu menyasarkan kedai serbaneka 24 jam serta rumah bagi menjalankan kegiatan tersebut.
Beliau berkata, suspek yang berusia 21 hingga 29 tahun termasuk ketuanya ditahan secara berasingan di beberapa buah rumah di Dengkil dan Banting menerusi Ops Cantas Khas kini direman tujuh hari sehingga 20 April ini.
“Suspek utama, dikenali sebagai Rooban yang baru dibebaskan dari Penjara Kajang pada September tahun lepas ditahan di Dengkil, lima hari selepas dia bersama dua lagi rakannya menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kota Warisan, Bandar Baru Salak Tinggi.
“Susulan itu, menerusi satu operasi khas, polis kemudiannya menahan empat lagi suspek termasuk seorang yang memakai Peranti Pengawasan Elektronik (EMD) kerana ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menggunakan modus operandi menyamun mangsa dengan muka dilitupi baju, Aziz berkata, Geng Rooban dianggap berbahaya kerana menggunakan parang dalam setiap kegiatan mereka.
Katanya, siasatan lanjut mendapati selain Sepang, kumpulan itu juga aktif melakukan samun di Banting dan Klang, Selangor.
Beliau berkata, tangkapan tersebut membawa kepada penemuan sebuah kereta Perodua Alza yang dilaporkan dicuri dan tiga Perodua Myvi yang dipercayai disewa serta beberapa rampasan barangan lain yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000. – MalaysiaGazette