SHAH ALAM – Seorang nelayan hilang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua lagi nelayan karam akibat angin kuat dan ombak besar ketika keluar menangkap ikan hari ini.
Bot nelayan kelas B yang dinaiki mereka dilaporkan karam pada jarak kira-kira tiga batu nautika dari perairan Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada kira-kira jam 9.10 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, nelayan yang hilang itu dikenali sebagai Ah Hua, berusia lingkungan 50-an.
Dua lagi rakannya Lim Ching Chong, 46, dan Teoh Eng Chuan, 56, terselamat apabila dibantu nelayan lain yang kebetulan berada di kawasan berhampiran.
“Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada 2.30 petang sejurus selepas laporan diterima dengan kekuatan sembilan anggota dibantu enam nelayan bersama dua buah bot,” kata Mohd Sani ketika dihubungi Bernama.
Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang turut membuka pusat kawalan operasi bomba di kawasan jeti Bagan Pasir bagi membantu mencari dan menyelamatkan mangsa yang masih hilang. – MalaysiaGazette