Home Nasional Nasi lemak punca peserta kongres keracunan

Nasi lemak punca peserta kongres keracunan

Gambar hiasan

SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Selangor mengesahkan nasi lemak adalah punca peserta Kongres Maruah Melayu, mengalami keracunan makanan pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, perkara itu disahkan berdasarkan sampel makanan yang diambil di lokasi program berkenaan.

“Kesemua mangsa yang terlibat adalah pelajar universiti yang mana mereka telah mengambil nasi lemak semasa tiba di program berkenaan.

“Punca keracunan ini kita perolehi berdasarkan lima sampel nasi lemak yang telah ditinggalkan di lokasi program,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain nasi lemak, pengesahan juga dibuat berdasarkan sampel najis, muntah, air kencing dan darah yang diperolehi dari mangsa terlibat.

Katanya, setakat ini 197 peserta kongres itu disahkan mengalami keracunan makanan dan telah menerima rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesihatan Daerah Petaling.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi tadi, Jabatan Kesihatan Selangor menerima laporan peserta yang menghadiri kongres itu yang berlangsung di Stadium Malawati di sini, mengalami keracunan makanan selepas mengambil makanan yang disediakan penganjur. – MalaysiaGazette