Home Sukan Man United alami krisis keyakinan selepas dikejutkan Longstaff

Man United alami krisis keyakinan selepas dikejutkan Longstaff

Matty Longstaff bersorak gembira selepas berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan menentang Manchester United malam tadi

LONDON – Manchester United kini mengalami krisis keyakinan selepas Matty Longstaff menunjukkan penampilan sulong yang mantap ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan jaringan menakjubkan yang membantu Newcastle menang mengejut 1-0, lewat malam tadi.

Perkara itu diakui pengurus pasukan berkenaan, Ole Gunnar Solskjaer apabila menyatakan pasukannya kendaliannya berdepan ‘tugasan menggunung’ untuk menamatkan Liga Perdana musim ini di kedudukan enam terbaik.

Anak buah Solskjaer dihukum susulan persembahan hambar terbaru mereka ketika Longstaff meraih gol sulung buat Newcastle pada babak kedua di St James’ Park.

United tersadai hanya dua mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-12 selepas tidak menang dalam tiga aksi liga berturut-turut.

Ia persembahan terburuk United, memandangkan tentangan sengit diberikan Newcastle yang turut mengharungi beberapa minggu buruk pada awal musim.

Skuad kendalian Solskjaer menguasai sebahagian besar permainan di Tyneside tetapi ketumpulan jentera serangan yang diketuai penyerang England, Marcus Rashford menyaksikan gawang Newcastle yang bolos lima kali ketika menentang Leicester City, minggu lalu terus kebal.

Sambil mengeluh dengan ketiadaan beberapa tonggaknya seperti Anthony Martial, Paul Pogba dan Jesse Lingard, Solskjaer menegaskan tiada proses pembaikan pantas bagi memulihkan semula prestasi longlai United ketika ini yang berlarutan sejak penghujung musim lalu.

“Saya tidak boleh memberikan kamu tempoh masa tetapi kami akan berada di sana. Kami memberikan diri kami tugasan yang amat, amat besar untuk berada di kedudukan empat terbaik, lupakan perkara itu, enam terbaik.

“Kami perlu berusaha bersama-sama dan mendapatkan semula keyakinan. Jika kamu hanya berjalan ketika hari cerah kami tidak akan tiba ke destinasi kami. Ia mengecewakan, tetapi kami tahu di mana kami perlu berada,” katanya.

Solskjaer berkata, dia akan cuba ‘menilai’ kelapan-lapan perlawanan Liga Perdana musim ini yang menyaksikan United hanya mengutip sembilan mata sekali gus menjadi permulaan terburuk mereka dalam saingan liga sejak musim 1989-90 ketika rehat antarabangsa. – MalaysiaGazette