Home Utama Hina Sultan Selangor: Bukit Aman rakam keterangan Kor Ming esok

Hina Sultan Selangor: Bukit Aman rakam keterangan Kor Ming esok

Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming akan dipanggil untuk diambil keterangan esok berhubung siasatan terhadap pemilik akaun Facebook bernama Nga Kor Ming Super Fans Page kerana didakwa memuat naik kenyataan yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan perkara tersebut berkata, Pengerusi DAP Perak itu akan dipanggil ke Bukit Aman.

“Yang (kes FB hina Sultan) itu dalam siasatan lagi. Janganlah tanya berapa ramai yang telah dipanggil setakat ini dan diambil keterangan, saya pun tak ingat.

“Secara umumnya saya boleh kata siasatan sedang berjalan dan kita akan kemukakan kepada Peguam Negara,” katanya selepas merasmikan Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Agensi Peguatkuasa Undang-undang anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras pagi ini.

Pada 2 Oktober lalu, Mazlan mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan kes itu selepas menerima satu laporan polis daripada pengiring Sultan Sultan di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam kira-kira pukul 11.15 pagi 1 Oktober lalu.

“Polis menerima satu laporan polis merujuk kepada kenyataan biadap dikeluarkan satu akaun Facebook menggunakan nama Nga Kor Ming Super Fans Page terhadap Sultan Selangor dan kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan,” kata Mazlan.

Pada 29 September lalu, hantaran dalam tulisan Cina menerusi akaun Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page didakwa mengajak kaum Cina melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor berkaitan penggunaan tulisan Jawi. – MalaysiaGazette