Home Nasional Teknologi forensik canggih bantu selesai lebih banyak kes kritikal – Mazlan

Teknologi forensik canggih bantu selesai lebih banyak kes kritikal – Mazlan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tengah) bercakap pada Majlis National Forensics Symposium For Law Enforcement 2019’ di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kelengkapan perkakasan teknologi sains forensik terkini termasuk data bank Deoksirinbonukleik Asid (DNA) dengan peruntukan yang besar dapat membantu polis menyelesaikan lebih banyak kes kritikal.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, buat masa ini peralatan atau kelengkapan teknologi forensik sedia ada yang dimiliki agensi penguatkuasa keselamatan utama sekadar boleh membantu polis menyiasat kes-kes yang rumit.

“Ya, setakat ini memang sekadar boleh membantu kita dalam siasatan. Pun begitu andai kata kita kita diberikan lebih banyak teknologi ataupun perkakasan yang lebih (canggih) saya percaya kita dapat menyelesaikan banyak lagi kes dalam forensik sains khususnya dari segi padanan sampel.

“Mengambil sampel DNA daripada penjenayah sememangnya memakan belanja yang banyak dan kita perlu peruntukan lebih agar kita dapat mengumpul lebih banyak persampelan dalam kalangan penjenayah untuk memastikan data bank DNA sentiasa lengkap dan dikemaskini,” katanya dalam sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras pagi ini.

Terdahulu beliau bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Huzir Mohamed merasmikan Simposium Sains Forensik Kebangsaan melibatkan penyertaan lebih 500 peserta termasuk pensyarah dan pakar forensik dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Sepanyol dan Perancis.

Menurut Mazlan, simposium itu akan membantu penguatkuasa memberi pendedahan kepada dimensi baharu yang perlu diberi fokus untuk menyelesaikan kes-kes  dalam jenayah siber.

“Kejayaan Forensik PDRM dari 2013 sehingga tahun 2018 di bawah Akta DNA, sebanyak 100,000 sampel DNA dibuat dalam bank data dan daripadanya 60 padanan telah dibuat.

“Menerusi padanan itu, ada kes kes berusia 20 tahun yang belum diselesaikan telah dirungkai menggunakan kejayaan analisa DNA sains forensik kita dan simposium ini akan menambah lagi pengetahuan dalam sektor itu untuk kita lebih ke hadapan selepas ini,” katanya lagi.

Beliau dalam perkara sama mengakui jenayah yang semakin rumit termasuk di alam siber memaksa pihak polis bersiap sedia dengan pelbagai ilmu dan teknologi canggih untuk menghadapi cabaran kes

Ditanya mengenai kes yang berjaya diselesaikan menerusi padanan DNA, Mazlan menarik perhatian tentang satu kes penjenayah yang menjalani hukuman melibatkan kesalahan lain tetapi didakwa dalam kes rogol lampau dengan padanan bank data DNA oleh forensik.

“Saya boleh cakap kes menarik di sini ialah kes rogol yang mana penjenayah ke ini sudah berada dalam penjara menerima hukuman lain.

“Tapi dengan padanan sampel DNA yang diperolehi dan disiasat forensik kami, kita dapat kes-kes rogol lampau melibatkan penjenayah berkenaan sebelum memasuki penjara dan itu satu penyelesaian baik dan dia didakwa berdasarkan perolehan hasil DNA itu.

“Ini sesuatu perkara yang kita boleh meyakinkan mahkamah iaitu sains forensik tak boleh menipu. Ini amaran kepada penjenayah bahawa dia boleh terlepas hari ini tetapi tidak akan terlepas pada masa akan datang daripada bank data DNA kita,” tegasnya.-MalaysiaGazette