Home Ekonomi Harga getah jatuh 10 peratus pada Q3

Harga getah jatuh 10 peratus pada Q3

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Harga getah Standard Malaysian Rubber (SMR20) menurun sebanyak 10 peratus kepada RM5.59 sekilogram pada suku ketiga 2019.

Ini didorong oleh penyusutan permintaan akibat pertumbuhan lemah ekonomi China susulan perang perdagangan di antara negara tersebut dan Amerika Syarikat yang masih berlanjutan.

Lembaga Getah Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, penurunan berterusan harga getah di pasaran dunia pada awal Oktober tahun ini dipengaruhi oleh sentimen negatif di pasaran China yang merupakan pengguna getah asli terbesar dunia.

“Sepertimana dilaporkan oleh media antarabangsa baru-baru ini, sebuah syarikat pedagang utama di China yang mengimport sebanyak 1.6 juta tan getah setahun dari negara- negara pengeluar utama getah telah memberhentikan pembelian getah dan juga menamatkan kesemua kontrak perdagangan getah yang masih belum dilaksanakan.

“Situasi ini memberi kesan kepada pasaran getah dunia termasuk Malaysia di mana harga getah SMR 20 jatuh ke paras terendah pada tahun 2019 iaitu RM5.16 sekilogram pada 4 Oktober 2019,” katanya.

Prihatin terhadap situasi semasa ini, kerajaan melalui LGM akan terus memastikan kebajikan para pekebun kecil melalui pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

IPG katanya, akan memastikan harga getah yang diterima oleh para pekebun kecil di peringkat ladang tidak terjejas oleh penurunan harga di pasaran dunia.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia terus bekerjasama dengan negara-negara pengeluar utama getah iaitu Thailand dan Indonesia di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council (ITRC) bagi menangani kejatuhan harga getah yang berpanjangan melalui langkah- langkah seperti Skim Pengurusan Bekalan (Supply Management Scheme), Skim Menggalakkan Permintaan (Demand Promotion Scheme) serta Skim Kuota Pengeksportan (Agreed Export Tonnage Scheme).

Menurut LGM, prestasi harga getah pada separuh tahun pertama 2019 menunjukkan aliran peningkatan di mana harga getah gred SMR 20 meningkat sebanyak 9.5 peratus kepada RM6.21 sekilogram pada suku tahun kedua berbanding suku tahun pertama 2019 iaitu RM5.67 sekilogram.-MalaysiaGazette