Home Ekonomi Utusan Melayu lepas 70 peratus pegangan Dilof kepada Aurora

Utusan Melayu lepas 70 peratus pegangan Dilof kepada Aurora

KUALA LUMPUR – Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) akan melepaskan 70 peratus pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn.Bhd. kepada Aurora Mulia Sdn. Bhd.

Dilof merupakan anak syarikat 100 peratus miliknya yang kini merupakan pemegang permit menerbitkan dua akhbar berbahasa Melayu berpengaruh iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Pelepasan pegangan dalam Dilof itu untuk memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana itu, kata UMMB dalam satu kenyataan hari ini.

Ia untuk memastikan akhbar Utusan Malaysia yang telah berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo! yang berusia 15 tahun dapat diteruskan.

UMMB kini berhadapan dengan masalah aliran tunai dan pelaburan dalam Dilof ini akan membolehkan suntikan kewangan daripada Aurora Mulia dan seterusnya memastikan penerbitan kedua-dua akhbar ini dapat diteruskan.

Aurora Mulia dipilih kerana syarikat tersebut merupakan pemegang saham utama Media Prima Berhad.

Pelaburan ini juga bakal menyaksikan penggabungan jabatan-jabatan sokongan kepada penerbitan beberapa jenama akhbar utama di negara ini seperti percetakan, pengedaran dan pengiklanan.- MalaysiaGazette