PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) mengharapkan Barisan Nasional meletakkan calon UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai pada 16 November ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir berkata, langkah itu adalah bagi memastikan PH boleh menang dalam PRK tersebut.
“Di Tanjung Piai, kita dapati banyak masalah di situ. Kita bergantung kepada parti lawan untuk menang. Kita minta mereka letak calon UMNO, tolonglah,” katanya menyindir.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana petang ini.
Bagaimanapun, ketika ditanya sebab mengapa PH mengharapkan BN untuk berbuat demikian, Mahathir yang juga Pengerusi PH enggan memberitahu sebaliknya, hanya menyatakan ada faktor-faktor tertentu yang tidak boleh didedahkan kepada media.
Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata, mesyuarat yang diadakan hari ini turut membincangkan mengenai Belanjawan 2020 yang akan dibentang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng Jumaat ini.
Ujarnya, terdapat banyak perbezaan dalam kalangan pimpinan Majlis Presiden mengenai belanjawan tersebut dan mengharapkan agar Guan Eng dapat mengambil kira pandangan tersebut ketika membuat pengumuman dalam ucapannya nanti. – MalaysiaGazette