KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak berminat untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, cadangan itu tidak sesuai kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama dan semua pihak harus terima hakikat itu.
“Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baharu. Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum dan pihak kerajaan daripada kita merdeka sehingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum.
“Itu satu hakikat yang kita tidak boleh tolak bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum dan semua kaum mempunyai hak dalam negara kita,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Dr Mahathir menyatakan demikian ketika ditanya mengenai pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menubuhkan kerajaan bersama UMNO dan Pas dengan mengambil kira penganjuran Kongres Maruah Melayu, minggu lalu.
Mohamad berkata, sekiranya perdana menteri itu benar-benar ikhlas mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini, maka penubuhan kerajaan baharu itu perlu demi Islam dan Melayu.
Semalam, Mohamad dalam satu kenyataan berkata, Kongres Maruah Melayu baru-baru ini mengesahkan segala dakwaan UMNO dan Pas bahawa kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan kepentingan masyarakat Melayu serta Pribumi lain sedang terhakis di bawah pentadbiran PH.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kerajaan baru itu boleh ditubuhkan dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pas serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak
“Saya bersetuju gesaan Tun Mahathir agar orang Melayu dan Islam bersatu. Cumanya kita tertanya-tanya, penyatuan yang bagaimana?
“Jika benar beliau jujur dan ikhlas, mahu kedudukan Melayu dan Islam dipulihkan dan diperkasakan, esok juga beliau boleh menubuhkan sebuah kerajaan baru dengan kerjasama BN, PAS dan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak,” kata Mohamad lagi. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: