Home Utama 7.2 juta warga Jakarta sekali lagi mengundi hari ini

7.2 juta warga Jakarta sekali lagi mengundi hari ini

Seorang pengundi selesai menjalankan tanggungjawab mengundi.
JAKARTA – Sebanyak 7,218,254 warga Jakarta yang layak mengundi sekali lagi akan membuat keputusan memilih Gabenor Jakarta bagi tempoh lima tahun pada pusingan kedua Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) hari ini.

Jumlah pemilih itu meningkat lebih 100,000 orang berbanding Pilkada Februari lepas mencatat dengan jumlah pengundi berdaftar 7.108.589 orang.

Media-media dalam talian memetik Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Daerah Khusus Ibukota Jakarta, Dahliah Umar, sebagai berkata, penambahan itu adalah disebabkan suruhanjaya itu menggunakan data pendaftaran pemilih terkini.

Mereka akan mengundi di 13,034 buah pusat pengundian di seluruh daerah Jakarta yang dibuka mulai pukul 7 pagi sehingga 1 tengah hari.

Pilkada bagi Jakarta terpaksa diadakan secara dua pusingan ekoran tiada calon yang melepasi undi majoriti melebihi 50 peratus pada pusingan pertama.

Pilkada pusingan kedua ini menyaksikan gandingan penyandang jawatan Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan Djarot Saiful Hidayat dicabar oleh bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Anies Baswedan dan pasangannya seorang ahli perniagaan, Sandiaga Salahuddin Uno.

Pada Pilkada 15 Feb lepas, Ahok dan Djarot mendahului pungutan undi dengan mendapat 44.17 peratus manakala pasangan Anies dan Sandiaga mendapat 39.55 peratus.

Pasangan Agus Harimurti Yudhoyono iaitu anak sulung bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terkeluar daripada pertandingan pusingan kedua apabila mendapat 16.27 peratus.

Sistem pilihan raya itu mewajibkan seseorang calon melepasi 50 peratus daripada jumlah undi keseluruhan untuk dilantik sebagai Gabenor Jakarta merangkap ketua eksekutif daerah.

Kerajaan mengumumkan hari ini sebagai hari cuti khas di Jakarta dan pihak berkuasa juga membuat kawalan ketat di seluruh pintu masuk ke Jakarta.

Orang awam dari luar Jakarta dilarang memasuki ibu negara itu jika tidak mempunyai urusan rasmi bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

— BERNAMA