Home Uncategorized Penganggur didakwa ugut bunuh ibu

Penganggur didakwa ugut bunuh ibu

Mahkamah Tinggi menolak permohonan ikat jamin dikemukakan ahli DAP, V. Suresh Kumar, yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

MELAKA – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut untuk membunuh ibu kandungnya, Julai lepas.

Tertuduh, Muhammad Nurahad’din Md Dali, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Lelaki itu didakwa menakutkan secara jenayah dengan kata-kata, “kalau kau tak bagi duit yang aku nak tu, aku ambil pisau aku bunuh kau,” terhadap Fatimah Ali, 56.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan pos pengawal Sekolah Kebangsaan Tambak Paya, Jalan Tambak Paya, Tiang Dua di sini, pada 11.40 pagi, 2 Julai lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP Nora Yaacob mencadangkan Muhammad Nurahad’din dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikurangkan jaminan atas alasan dia tidak mempunyai wang.

Majistret Muhammad Nazrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Nov untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

— BERNAMA