Home Pendapat Pemimpin Melayu – ‘Kecerdikan Tertangguh’

Pemimpin Melayu – ‘Kecerdikan Tertangguh’

Sebahagian peserta yang hadir mengibarkan jalur gemilang pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

KEBELAKANGAN ini pemimpin-pemimpin parti politik Melayu bagai baru ‘insaf’ dan mendapat ‘hidayah’ tentang perlunya hak dan ‘ketuanan’ Melayu ‘dipertahankan’.

Maka, baik yang berada dalam blok kerajaan mahupun pembangkang rancak membicarakan atau berusaha menjuarai perkara ini mengikut versi masing-masing.

Kesungguhan ini menjadi lebih bersemarak lagi apabila ada NGO khususnya yang didukung oleh orang Melayu dan tokoh-tokoh dalam kalangan orang Melayu turut bersama menzahirkan solidariti mereka terhadap perlunya mempertahankan hak dan maruah Melayu.

Pastinya setiap usaha ke arah menyatukan orang Melayu harus disokong oleh semua pihak khususnya orang Melayu itu sendiri.

Namun lenggok bahasa yang digunakan oleh pemimpin parti politik Melayu ini amat mendukacitakan.

Sebagai contoh, ada pemimpin parti Melayu di satu blok apabila bercakap tentang Melayu pasti berkisar tentang Melayu malas, Melayu suka ambil jalan mudah, Melayu ambil rasuah, Melayu mahu cepat kaya, Melayu sentiasa perlu tongkat dan berbagai lagi.

Manakala pemimpin Melayu di satu blok lagi terus-terusan melaungkan sentimen yang menyatakan kedudukan orang Melayu hari ini sangat terancam khususnya selepas PRU14 sedangkan mereka begitu lama memerintah, apa yang mereka ‘tidak buat’ sehingga apabila kalah sahaja, orang Melayu terus terancam.

Antara isu yang mereka ‘mainkan’ ialah kebiadaban pihak tertentu mempersoal isu-isu sensitif seperti hak istimewa orang Melayu, raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu dan lain-lain walaupun telah termaktub dalam Perlembagaan. Dari satu sudut ada benarnya tetapi berbalik kepada persoalan apakah yang mereka telah gagal lakukan ketika berkuasa dahulu?

Berbalik kepada persoalan isu sikap negatif orang Melayu, banyak telah diperkatakan baik dari sudut Melayu itu sebagai individu, keluarga, masyarakat mahupun sebagai sebuah bangsa dan negara.

Begitu juga isu-isu berkaitan sikap sesetengah pihak yang menghina atau ‘mencabuli’ hak orang Melayu walaupun hak-hak tersebut sudah termaktub dalam perlembagaan.Banyak telah diperkatakan tetapi tindakan mencegah yang ampuh bagai masih belum jumpa.

Sebenarnya, apa yang mendukacitakan orang Melayu hari ini ialah sikap pemimpin politik Melayu itu sendiri kerana mereka melihat isu perpaduan ini dari kaca mata politik kepartian mereka sahaja.

Maka terjadilah apa yang terjadi hari ini iaitu perpaduan yang mereka usahakan ialah perpaduan berteraskan keutungan politik kepartian.

Mereka sanggup berkerjasama dengan ‘musuh’ demi kelangsungan agenda politik mereka.

Dengan kata lain, merekalah sebenarnya pemecah belah perpaduan Melayu. Ego mereka terlalu besar dan ianya boleh dilihat dengan jelas di mana mereka masih gagal menterjemahkan perpaduan itu samada bergabung di bawah satu parti atau berada dalam satu blok.

Semua tahu bahawa mereka ini ‘gila’ pangkat dan kuasa. Pemimpin parti Melayu ini sanggup membiarkan bangsa Melayu terus berpecah-pecah dan kemudian mempersalahkan orang Melayu sebagai tidak mahu bersatu padu.

Ironi sungguh sikap mereka ini kerana sanggup membiarkan
‘kampung mereka tergadai’, di kala mereka masih ‘ghairah’ untuk terus ‘berlaga’. Bertambah malang kerana walau kokok mereka berderai-derai, ekor mereka bergelumang tahi.

Dengan kata lain, pemimpin politik Melayulah yang ‘bodoh’ kerana mereka terus ‘menjerit-jerit’ menyuruh orang Melayu bersatu tetapi mereka sendiri tidak berbuat apa-apa atas kapasiti sebagai pemimpin parti politik orang Melayu sama ada menyatukan parti-parti politik yang mereka pimpin.

Bersatu dengan menjadi satu parti atau bergabung dalam satu kumpulan setidak-tidaknya adalah yang diharapkan oleh rakyat khususnya orang Melayu itu sendiri.

Namun, malang sungguh nasib orang Melayu kerana mereka terus diperkotakkatik oleh pemimpin bangsanya sendiri.

Akhir kata, wahai pemimpin politik Melayu, zahirkanlah apa yang kalian perkatakan dengan tindakan konkrit yang membawa kepada penyatuan umat Melayu dan demi membela maruah Melayu dan kuasa politik Melayu. Dengan kata lain hentikanlah ucapan-ucapan retorik yang ‘menggila’.

Persoalannya adakah mereka sanggup melakukannya?

Atau mereka sebenarnya sama sekali tidak berjiwa besar seperti yang orang Melayu sangkakan.

Penulis adalah Profesor Dr. Haim Hilman