KUALA LUMPUR – Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Rakyat memperlihatkan kawalan protokol mengenai kod etika pemakaian diperketatkan di pintu masuk Dewan Rakyat.
Sejak Isnin lalu, para pengawal pintu masuk yang terdiri daripada polis bantuan dilihat semakin tegas dengan penampilan individu yang ingin memasuki sidang dewan termasuklah pengamal media.
Sebaik memasuki pintu masuk, para pengawal akan memerhatikan pakaian dan kot memenuhi kod etika pemakaian bagi memasuki dewan.
Difahamkan. ada wartawan dan jurugambar yang tidak dibenarkan masuk kerana memakai seluar yang tidak mematuhi peraturan Parlimen.
Turut tidak dibenarkan memasuki dewan adalah wartawan wanita yang didakwa tidak memakai kasut yang ditetapkan dalam senarai peraturan Parlimen.
Malah ada juga para pengamal media yang diberikan amaran supaya tidak memakai kasut selain yang berwarna gelap sahaja.
Dalam peraturan di laman web Parlimen, hanya tertera perkataan kasut kulit tanpa disertakan dengan ‘hanya berwarna hitam’.
Dalam kod etika berpakaian, pelawat lelaki hendaklah memakai lounge suit dan bertali leher dengan baju kemeja lengan panjang serta seluar panjang berwarna gelap.
Manakala bagi pelawat wanita pula dikehendaki memakai baju kurung atau kebaya labuh, blouse berlengan panjang selain seluar panjang dan memakai kasut bukan selipar. -MalaysiaGazette