PUTRAJAYA – Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 akan berlangsung dari 14 Okt hingga 28 Nov ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini, seramai 416,416 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu pada tahun ini di 3,313 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Peperiksaan berlangsung dalam dua fasa iaitu fasa pertama dari 14 Okt sehingga 17 Okt manakala fasa kedua dari 5 Nov sehingga 28 Nov, kata kementerian itu.
“Seramai 32,423 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan,” kata kementerian itu.
Calon SPM 2019 terdiri daripada calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan iaitu sebanyak 357,010 atau 85.8 peratus; calon Sekolah di bawah Agensi Kerajaan selain KPM (8,320 atau 2.0 peratus).
Calon Sekolah Menengah Agama Negeri (8,317 atau 2.0 peratus); calon Sekolah Menengah Agama Rakyat (2,209 atau 0.5 peratus); calon Sekolah Swasta yang berdaftar dengan KPM (14,203 atau 3.3 peratus) dan calon persendirian seramai 26,357 atau enam peratus.
Semua calon diingatkan agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung.
Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan diĀ www.lp.moe.gov.my.
Calon turut diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.
— BERNAMA