KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menambah peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah daripada RM652 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada tahun 2020.
Peruntukan itu adalah seperti berikut:
Sekolah Kebangsaan RM300 juta
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) RM50 juta
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)RM50 juta
Sekolah Berasrama Penuh RM50 juta
Maktab Rendah Sains MARA RM50 juta
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan RM50 juta
Sekolah Mubaligh RM50 juta
Sekolah Tahfiz RM50 juta
Sekolah Agama Rakyat & Sekolah Agama Persendirian RM25 juta
Sekolah Pondok yang berdaftar RM25 juta
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan RM20 juta
Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)RM15 juta
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Katanya, kerajaan akan membina beberapa sekolah baharu di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang, Tumpat, Marang dan Johor Bahru pada tahun depan.
Bagi sekolah kebangsaan, peruntukan sebanyak RM23 juta akan disediakan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ini selari dengan dasar penolakan sifar yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka.
Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah bantuan bayaran utiliti tambahan yang juga merangkumi pembentungan sebanyak RM12 juta sekaligus memberi manfaat kepada 2,000 sekolah bantuan kerajaan. – MalaysiaGazette