Home Belanjawan 2020 14,400 anggota bomba nikmati elaun khas RM200 sebulan

14,400 anggota bomba nikmati elaun khas RM200 sebulan

Anggota Bomba pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 31 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14,400 anggota bomba akan menikmati Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan.

“Ia sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang telah mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Keputusan tersebut melibatkan dengan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi tahun 2020. Ini akan memberi manfaat kepada 14,400 anggota bomba.

Pembentangan Belanjawan 2020 turut menyaksikan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Januari 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan sebanyak RM26 juta.

Guan Eng turut diumumkan bayaran secara one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada hampir 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia yang melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta.

“Kerajaan menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera, khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia,” katanya.

Selaras dengan falsafah 3R, katanya, kerajaan akan memperuntukkan RM330 juta kepada Bahagian Pengurusan Hartanah di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membaiki dan menyelenggara kuarters penjawat awam.

Sebagai tambahan, RM150 juta untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan RM250 juta untuk kuarters PDRM juga akan diperuntukkan bagi tujuan yang sama.

“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, doktor, jururawat, guru dan semua penjawat awam atas bakti perkhidmatan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette