KUALA LUMPUR – Penerima Program Subsidi Petrol (PSP) sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal akan didepositkan terus di dalam akaun mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan bagi mengasingkan penerima mempunyai kereta yang besar dan kecil serta bilangan yang banyak.
“Jika subsidi boleh dibeli, pemilik kereta besar dan banyak akan mendapat faedah nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dalam pembentangannya, Guan Eng mengumumkan peruntukan RM2.2 bilion bagi skim PSP yang akan memberi manfaat kepada 8 juta pemandu.
Beliau berkata, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) akan menerima kadar subsidi RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal membabitkan 2.86 juta penerima.
Katanya, program subsidi petrol bersasar itu akan dilaksanakan pada Januari 2020 dan harga petrol RON95 akan diapungkan dan harga diselaraskan secara beransur-ansur dengan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali. – MalaysiaGazette