KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya memberi tumpuan kepada pelaksanaan Belanjawan 2019 terlebih dahulu yang didakwa masih gagal ditunaikan sepenuhnya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menegaskan, rakyat hanya akan meyakini kerajaan PH sekiranya Belanjawan lepas ditunaikan.
“Laksanakan yang dulu, masih banyak lagi bajet yang dikemukakan tahun lepas tidak dilaksanakan.
“Sekarang ini janji baru, nak buat itu dan ini, laksanakan yang dulu baru orang yakin,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 lebih dua jam di Dewan Rakyat, hari ini.
Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’.
Mengulas isu keselamatan dalam belanjawan negara kali ini, Ahmad Zahid menegaskan, Belanjawan 2020 tidak banyak menyentuh soal keselamatan khusus di bawah Kementerian Dalam Negeri.
“Keselamatan kita tengok tidak ada perubahan yang banyak kecuali dipertingkatkan IPCMC.
“IPCMC ini jelas ditolak oleh pegawai polis khususnya yang pangkat rendah dan pegawai kanan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette