Home Utama TKB garis lima transformasi perkasa kesejahteraan Bumiputera – Najib

TKB garis lima transformasi perkasa kesejahteraan Bumiputera – Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (kanan) meletakkan tapak tangan sebagai gimik pelancaran Majlis Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputra 2.0 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Berbeza dengan dasar-dasar sebelum ini yang tertumpu kepada sudut ekonomi semata-mata, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) menawarkan pendekatan inklusif dan holistik ke arah memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera.

Keunikan TKB yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, adalah untuk membela kesejahteraan hidup penduduk Bumiputera tanpa meminggirkan aspek-aspek lain menjadikan dasar terbaharu ini lebih komprehensif.

Lembaran berwajah baharu untuk memperkasakan agenda Bumiputera itu tidak mengehadkan bidang-bidang tertentu lantas ia menonjolkan keterangkuman supaya bumiputera sejahtera dalam semua aspek kehidupan dan bukannya ekonomi semata-mata.

“Apa yang saya mahukan ialah Transformasi Kesejahteraan Bumiputera ini bersifat inklusif atau terangkum lagi holistik.

“Maksudnya di sini, dalam membela dan memperkasakan agenda Bumiputera, ia tidak terhad kepada bidang-bidang tertentu seperti ekonomi semata-mata.

“Bahkan lebih mustahak dan jauh daripada itu, transformasi ini turut merangkumi segenap aspek kesejahteraan hidup seperti pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya, duduk dalam persekitaran yang selesa serta dinamik, seraya membela untung nasib serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” kata Najib semasa melancarkan Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 di KLCC hari ini.

Pengenalan TKB ini adalah hasil daripada dapatan Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Bumiputera 2.0 yang ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji penambahbaikan.

Menurut Najib, TKB yang akan dilaksana ini berlandaskan kepada lima transformasi utama Bumiputera ke arah memastikan 30 peratus ekuiti yang disasarkan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dapat dicapai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengunjungi  ruang  pameran sempena Pelancaran Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputra 2.0 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2017.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengunjungi ruang pameran sempena Pelancaran Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputra 2.0 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2017.

Menerusi TKB, Najib berharap ia dapat melonjakkan skala Bumiputera dari berskala kecil atau mikro sehinggalah kepada yang berskala besar dan bertaraf antarabangsa.

“Justeru itu, saya menyarankan agar organisasi dan syarikat besar yang mendapat kontrak serta konsesi kerajaan termasuklah GLIC dan GLC untuk melaksanakan dasar mesra-Bumiputera mikro dan kecil,” katanya.

Keduanya, Najib menekankan berhubung aspek memperkasakan modal insan Bumiputera supaya bersedia menghadapi pelbagai arus cabaran dari dalam dan luar negara.

“Menjengah sudut pemikiran dan budaya kerja, untuk maju dan bergerak ke hadapan, kita seharusnya mampu melakukan anjakan paradigma supaya tidak terperangkap dalam kepompong pemikiran konvensional,” katanya.

Aspek ketiga TKB adalah meningkatkan daya saing Bumiputera dimana kedudukannya sudah semakin baik berbanding dahulu.

“Sebagai contoh dasar Carve Out and Compete menyediakan ruang dan peluang kepada syarikat Bumiputera untuk mendapat kontrak dan menyertai projek mega yang ditawarkan oleh kerajaan, GLC dan swasta berdasarkan merit sesama Bumiputera disamping rekod cemerlang dan keupayaan untuk deliver atau membuat penyampaian,” jelasnya.

Dalam pada itu, aspek keempat adalah mendaya mobiliti sosial Bumiputera dan terakhir mentransformasi kesejahteraan Bumiputera secara tuntas dan holistik.

Najib berkata TKB ini akan menjadi asas kepada dasar-dasar dan inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan kelak.

“TKB ini bukan sahaja menjadi agenda nasional, bahkan ia dijadikan juga sebagai asas kepada dasar-dasar, pelan induk dan tindakan dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan yang melibatkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera,” katanya.

Najib juga menegaskan langkah yang diumum ini adalah bukti kerajaan terus berjuang untung nasib orang Melayu dan Bumiputera, sama ada Islam mahu pun bukan Islam.

“Semestinya, kerajaan ini akan terus memperjuangkan kepentingan seluruh lapisan masyarakat Malaysia, demi keamanan dan kestabilan, makmur serta sejahtera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette