WASHINGTON – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) tidak membuat kajian yang sempurna terhadap sistem keselamatan 737 Max, kata panel antarabangsa.
Malah, panel itu berkata, FAA telah terlepas pandang terlalu banyak perkara ke atas Boeing, selain syarikat pembuat kapal terbang tersebut telah menyediakan maklumat mengelirukan mengenai sistemnya hingga mengakibatkan dua nahas.
FAA mengucap terima kasih di atas laporan yang tidak berselindung daripada panel berkenaan.
Boeing pula berjanji untuk bekerjasama dengan FAA mengenai cadangan itu.
FAA, yang mengawasi keselamatan pesawat di AS, ditugaskan membuat semakan itu pada April selepas bencana Boeing 737 Max di Ethiopia dan Indonesia, yang mengorbankan 346 anak kapal dan penumpang.
Agensi itu menghadapi kritikan terhadap kelulusannya terhadap Boeing 737 Max, yang telah digantung daripada operasi sejak Mac tahun lalu.
Dalam kedua-dua insiden, penyiasat memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh sistem perisian yang dipanggil MCAS (Sistem Perenungan Ciri-ciri Manuver), yang direka untuk menjadikan pesawat lebih mudah untuk terbang.
Siasatan telah menunjukkan perisian – dan kegagalan sensor – menyumbang kepada juruterbang yang tidak dapat mengawal pesawat berkenaan.
Dalam laporan yang diterbitkan pada hari Jumaat, panel mendapati bahawa “penglibatan terhad” dan “kesedaran yang tidak mencukupi” sistem keselamatan MCAS automatik “mengakibatkan ketidakupayaan FAA untuk menyediakan penilaian secara bebas”.
Ia juga mendapati kakitangan Boeing yang melaksanakan pensijilan itu juga tertakluk kepada “tekanan tidak wajar … yang seterusnya menjejaskan tahap jaminan ke atas sistem ini”.
Walaupun proses kelulusan FAA meneliti setiap perubahan, ia tidak mencerminkan dengan cukup bagaimana perubahan itu mungkin berinteraksi dengan sistem sedia ada atau dengan juruterbang dan kru, kata laporan itu.
Panel itu termasuk wakil dari FAA, serta pegawai dari NASA dan sembilan negara lain, termasuk Kanada, China dan Indonesia. – MalaysiaGazette