Home Akhbar Cina Norma mungkin ganti anak di Tanjung Piai

Norma mungkin ganti anak di Tanjung Piai

Peta kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen P.165 Tanjung Piai Johor

TANJUNG PIAI – Norma Mohamed merupakan calon utama yang dipertimbangkan Bersatu untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai yang dimenangi anaknya, Allahyarham Farid Md. Rafik dalam Pilihan Raya Umum 2018.

China Press melaporkan, Norma, 62, merupakan Ketua Wanita Bersatu di Tanjung Piai dan mempunyai rangkaian meluas di peringkat tempatan.

Sebelum ini, beliau juga pernah menunjangi sayap wanita UMNO Tanjung Piai dan berkhidmat sebagai Ahli Majlis Daerah Pontian.

Hubungannya dengan pengundi di Tanjung Piai telah membantu anaknya memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada 2018.

Norma dikatakan sudi membantu Bersatu mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas Farid meninggal dunia.

Selain Norma, saorang calon tempatan yang dipertimbangkan ialah Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini yang kalah tipis kepada calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Maslan di kerusi Parlimen Pontian dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Farid memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandang ketika itu, Datuk Seri Wee Jeck Seng daripada MCA, BN.

Walaupun Jeck Seng dikatan calon pilihan MCA untuk merampas semula Tanjung Piai, tetapi UMNO juga berminat bertanding menggunakan panji BN.

Selain itu, Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee yang aktif di kerusi Parlimen Iskandar Puteri dilaporkan merupakan calon pilihan jika Gerakan mahu bertanding di Tanjung Piai. – MalaysiaGazette