KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbesar hati menggalas tanggungjawab mentadbir inisiatif Malaysians@Work (#MalaysiaKerja), dengan pelbagai program @Work bertujuan mencipta peluang pekerjaan kepada segmen penting tenaga kerja Malaysia serta mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, “Malaysians@Work langkah penting untuk menyelesaikan masalah bakat dalam negara.
Ia termasuk kadar gaji rendah dan pengangguran belia yang tinggi terutamanya graduan baru serta membolehkan golongan wanita yang sudah berhenti kerja, kembali bekerja semula.
Yang menarik, pelbagai inisiatif ini turut menyaksikan pihak majikan terlibat secara aktif dalam menangani isu-isu penting berkaitan tenaga kerja.
Menurut beliau, program ini juga memastikan masa depan persaraan penerima manfaat dijamin dengan insentif yang akan disalurkan melalui KWSP.
Sebahagian insentif ini dijangka disediakan tidak lama lagi melalui mekanisma pengeluaran yang dibangunkan oleh KWSP.
Mengenai lanjutan pengeluaran untuk pendidikan, beliau berkata, pengeluaran untuk pendidikan daripada Akaun 2 kepada pasangan dan ibu bapa ahli juga diharapkan akan meningkatkan produktiviti mereka.
Katanya, ahli boleh memilih untuk menggalakkan isteri atau ibu bapa untuk terlibat dalam program pembelajaran berterusan dan memastikan kecukupan diri selepas persaraan
Untuk perlindungan keselamatan sosial untuk semua rakyat Malaysia, Tunku Alizakri berkata, KWSP sedang mengkaji
untuk melanjutkan perlindungan KWSP untuk segmen ini.
Kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk menawarkan perlindungan ini kepada industri kreatif dan seni persembahan, dilihat sebagai permulaan yang bagus.
Berhubung program caruman kepada pasangan, katanya, KWSP sentiasa memberi penghargaan kepada golongan wanita, sama ada yang bekerja sepenuh masa atau suri rumah, sebagai penyumbang penting kepada ekonomi.
“Wanita terutamanya, memainkan peranan penting dalam membina keluarga yang stabil dan kestabilan institusi keluarga membawa kepada penambahbaikan produktiviti dalam kalangan pekerja, jadi golongan isteri harus menikmati kelebihan perlindungan sosial,” ujarnya.
Tunku Alizakri juga menyambut baik berhubung pengeluaran untuk rawatan subfertiliti (IVF) dan akan mengkaji cara terbaik untuk mencari keseimbangan antara perlindungan kewangan dan kesejahteraan sosial. – MalaysiaGazette