Home Ekonomi Belanjawan 2020 pemudahcara ekonomi melalui dasar kukuh

Belanjawan 2020 pemudahcara ekonomi melalui dasar kukuh

Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research

KUALA LUMPUR- Belanjawan 2020 secara asasnya bersifat pengembangan yang menyasarkan untuk memudahcara ekonomi dan meningkatkan daya saing negara melalui dasar fiskal yang kukuh.

Ia seharusnya merangsang ekonomi domestik menerusi pelbagai langkah yang diperkenalkan di samping mengurangkan impak berkaitan kelembapan pertumbuhann ekonomi global disebabkan isu-isu geopolitik seperti perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) -China.

MIDF Research berpendapat inisiatif-inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 adalah untuk membantu golongan B40 di samping meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia dengan mengurangkan jurang pendapatan di antara golongan kaya dan berpendapatan kurang.

Ini termasuk langkah yang diambil melalui Program Subsidi Petrol dan penambahan penerima Bantuan Sara Hidup selain pembinaan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.

Belanjawan 2020 mencerminkan komitmen kerajaan di dalam mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan kawasan bandar dan luar bandar dengan memperuntukkan peruntukan terbesar kepada Sabah dan Sarawak melalui meluaskan infrastruktur asas seperti air, elektrik dan jalan raya.

Pengarah Urusan MIDF, Datuk Charon Mokhzani berkata, sasaran kerajaan adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang inovatif dan menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkemahiran tinggi, terkini dan bernilai tinggi.

“Belanjawan 2020 meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mencapai semua matlamat tersebut menerusi pelbagai program sosial yang telah diumumkan dan memastikan semua rakyat dapat berkongsi kemakmuran,” katanya dalam satu kenyataan di sini.-MalaysiaGazette