Home Nasional LTTE: Ramkarpal, Rayer akan cabar penahanan 2 ADUN DAP

LTTE: Ramkarpal, Rayer akan cabar penahanan 2 ADUN DAP

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bersama Peguam, Ram Karpal Singh (kanan) hadir untuk bercakap kepada media mengenai isu penahanan 2 ADUN DAP ekoran kes LTTE di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Ramkarpal Singh dan RSN Rayer akan mencabar penahanan dua wakil rakyat DAP yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di mahkamah.

Pada minggu lalu, polis menahan 12 individu termasuk Exco Melaka, G Saminathan dan Ahli Dewan Undangan Seremban Jaya, P Gunasekaran di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ram Karpal yang meruapakan peguam kepada dua wakil rakyat itu berkata, pihaknya akan membuat keputusan untuk memfailkan kes itu secepat mungkin.

“Berkenaan jamin, memang jamin itu satu isu yang mungkin akan dicabar juga atas alasan bahawa jamin tidak dibenarkan di bawah SOSMA dan kami sudah tentu akan ambil tindakan sewajarnya dalam hal ini.

“Saya bersama Rayer selaku peguam berjumpa dua orang klien kami di Bukit Aman sebentar tadi iaitu Exco Melaka G.Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P. Gunasegaran sekitar pukul 8.30 pagi selama dua jam dan polis memberi masa secukupnya untuk berjumpa mereka dan juga ahli keluarga dijadualkan berjumpa jam 12 tengahari ini.

“Kami telah mengambil arahan kedua dua ADUN itu tetapi ada dua lagi pemimpin iaitu Chandru (Ketua pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka) dan Suresh (Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) yang kami belum jumpa dan perlu dapat arahan susulan dari mereka juga untuk tindakan lanjut secepat mungkin,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi ini.

Menurut Ram Karpal, beliau akan berjumpa mereka kemudian.

Katanya, beliau bersama Rayer akan berjumpa semula Saminathan dan Gunasekaran untuk tindakan selanjutnya dan sepanjang pertemuan hari ini kedua-dua pemimpin DAP itu berada dalam keadaan sihat sejak ditahan Rabu lalu bersama lima orang lagi.

Bagaimanapun enggan memperincikan perkara yang dibincangkan bersama kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri itu.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa wujud transaksi kewangan untuk menyalurkan dana untuk mewujudkan semula ideologi LTTE, beliau berkata, dakwaan itu masih belum jelas.

“Saya rasa kita tak boleh sentuh isu itu lagi sebab pertuduhan atau dakwaan sebenar tidak dijelaskan oleh polis sendiri.

“Buat masa ini ada banyak spekulasi tular mengenai penahanan mereka tetapi pertuduhan serta kesalahan sebenar tidak dijelaskan secara teliti, sebaliknya ia hnaya pandangan am tanpa memperincikan butiran serta kesalahan tangkapan secara spesifik,” katanya. – MalaysiaGazette

Tangkapan LTTE: Polis ikut peruntukan undang-undang – Dr Mahathir