KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan ruang yang mencukupi bagi menyiasat dakwaan terhadap dua pegawai kanan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai dakwaan seleweng dana Lembaga Zakat.
Katanya, ia perlu bagi memastikan siasatan dapat dijalankan oleh badan itu kerana ia dimasukkan ke dalam akaun peribadi individu tertentu.
“Pihak SPRM perlu diberikan ruang untuk membuat siasatan dan itu adalah apa yang saya telah nyatakan.
“Jadi setakat ini biar mereka buat siasatan mereka dan saya akan bincang dengan pegawai-pegawai di RTM apabila saya balik ke pejabat nanti,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Puchong itu menjawab pertanyaan media mengenai pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya bahawa tiga individu termasuk dua pegawai kanan RTM ditahan reman pada 7 Oktober lalu berhubung dakwaan penyelewengan dana Lembaga Zakat untuk satu penerbitan program.
Latheefa semalam berkata, tempoh reman untuk dua pegawai itu telah dilanjutkan selama lima hari bermula Khamis lepas, manakala seorang lagi tidak disambung.
Setakat ini 11 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Nilai penyelewengan didakwa mencecah puluhan ribu ringgit. -MalaysiaGazette