Home Nasional 1MDB: Hakim dengan berat hati tangguh prosiding petang ini

1MDB: Hakim dengan berat hati tangguh prosiding petang ini

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Collin Lawrence Sequerah terpaksa menangguhkan kes petang dengan berat hati selepas tertuduh tidak dapat menghadirkan diri prosiding petang ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak dapat hadir perbicaraan hari ke-22 petang ini kerana masa untuk perbahasan Belanjawan 2020 di Parlimen yang sepatutnya dilakukan pada sesi pagi tadi ditunda sehingga jam 3.20 petang.

Bagaimanapun, Collin tidak begitu gembira apabila peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya tidak dapat mengelakkan daripada insiden ini kerana pada sangkaannya slot perbahasan beliau sepatutnya antara 11 hingga 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun kata Shafee, perbahasan itu kemudian ditunda dan menyebabkan Najib terpaksa terus berada di Parlimen bagi membahaskan Belanjawan 2020 yang telah beliau siapkan diri sejak dua minggu lepas.

Shafee turut memberitahu Najib ada cuba meminta masa antara 4.30 petang namun telah ditolak dan penetapan masa antara 3.10 hingga 3.20 telah diberikan.

“Sememangnya anak guam saya serba salah dan ada menghubungi saya lebih awal namun saya berada di mahkamah dan gagal di hubungi sehingga 12.30 tengah hari tadi. Seandainya beliau tidak berbahas hari ini, beliau mungkin akan di kenakan denda kelak.

“Kami mohon maaf dan ini tidak akan berulang lagi,” katanya kepada Collin.

Bagaimanapun Collin tidak berapa berpuas hati dengan penjelasan Shafee sambil berkata banyak penangguhan sebelum-sebelum ini dan setakat ini baru sembilan saksi.

Malah kata beliau perbicaraan yang sepatutnya bermula pagi tadi terpaksa ditangguh ke pukul 2.30 petang atas permintaan Najib semalam dan terpaksa ditangguh lagi sehingga esok.

Collin: Kita baru sahaja sampai saksi 9 dan masa sedang berjalan.

Shafee: Benar Yang Arif tetapi saya beri jaminan kita sememangnya pantas dalam prosiding ini. Perlu kita ingat dua saksi penting, Amhari dan sekarang Shahrol adalah dua saksi utama dan penting. Itu yang ambil masa.

Saya jangka akan habis pemeriksaan balas saya dengan Shahrol selewat-lewatnya minggu hadapan.

Penangguhan lain seperti sakit konjuktivitis itu sesuatu yang kita langsung tidak boleh elak malah tidak juga dapat jangkakan Yang Arif.

Collin: Pastikan ini adalah kali terakhir.

Shafee: Ya Yang Arif. Anak guam saya sememangnya rasa serba salah tadi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram juga melahirkan rasa tidak senang dengan insiden ini dengan alasan ramai lagi saksi yang sedang menunggu untuk dipanggil namun rata-rata mereka tidak tahu berapa lama mereka perlu menunggu.

“Saya harap ini adalah kali terakhir. KIta ada ramai saksi yang sedang ‘standby’ kerana tidak tahu bilakah akan dipanggil. Kita lebih daripada berterima kasih sekiranya perkara seperti ini tidak berulang lagi,” tegasnya.

Collin kemudian menangguhkan perbicaraan 1MDB sehingga 9.30 pagi esok. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nanti buat penagguhan lagi…guna alasan nak bersunat buat kedua kali.
    ##dulu kononnya “Lawan tetap Lawan” sudah lupa kaaaa adeiiiii

Comments are closed.