Home Seni Hidup Belai dan manja diri di Bayu Spa

Belai dan manja diri di Bayu Spa

Bayu Spa terletak di dalam Kinrara Resort di Puchong.

PUCHONG – Jika menyebut mengenai spa atau pusat kecantikan, pantas terbayang kos tinggi yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan rawatan kecantikan di tempat seumpama itu.

Bagi mereka yang berkemampuan, mungkin tiada masalah untuk memilih mana-mana spa yang disukai sebaliknya bagi yang mengalami kekangan kewangan, hasrat itu terpaksa dikuburkan dan dipendam.

Namun, tidak semua spa dan pusat kecantikan mengenakan harga mahal untuk perkhidmatan yang disediakan malah banyak pusat kecantikan yang sering memberi diskaun dan harga istimewa untuk dicuba pelanggan.

Contohnya Bayu Spa yang menampilkan rawatan pada harga mampu milik dengan rawatan kecantikan untuk pelanggannya memanjakan diri.

Pengunjung disambut dengan membasuhkan kaki menggunakan air tempayan.

Menyediakan rawatan dari hujung rambut hingga hujung kaki dengan harga yang berpatutan, spa ini juga menawarkan penggunaan bahan herba asli ciptaan sendiri dan semula jadi seperti buah-buahan dan susu.

Yang pasti, hati berasa tenang sebaik melangkah ke spa yang dihias rapi sambil di menghirup angin sepoi-sepoi bahasa seperti namanya yang terletak di dalam Kinrara Resort di sini.

Dengan panorama mendamaikan memenuhi ruang spa terus menghilangkan penat-lelah penulis seharian di pejabat dan aktiviti lain sebelum ini.

Berbual dengan pemilik spa yang cukup ramah, itulah antara tarikan utama pelanggan untuk kembali lagi selain rawatan kecantikan yang ditawarkan.

Pengunjung disambut dengan membasuhkan kaki menggunakan air tempayan.

Memulakan bicara, Norzila Hussin berkata, spa itu menawarkan rawatan lengkap daripada rawatan rambut, badan hingga kaki bahkan terdapat juga rawatan kecantikan bahagian sulit wanita atau dikenali bertangas.

“Dalam era globalisasi dan teknologi ini, ramai wanita yang terlampau sibuk dengan kerja atau belajar hingga tiada masa untuk memanjakan diri baik dari segi kecantikan dan kesihatan.

“Antara keistimewaan atau keunikan di spa ini ialah spa vagina apabila ia umpama rawatan muka tapi kita lakukan di bahagian sulit wanita. Rawatan ini khusus bagi membuatkan wanita rasa lebih bersih dan berkeyakinan terutama mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan dan lepas bersalin selain kurang keputihan dan berbau.

“Rawatan itu merangkumi pembersihan bahagian sulit menggunakan bahan semula jadi dan ramuan yang saya sediakan sendiri.

Rawatan spa vagina menjadi pilihan kaum wanita.

“Proses rawatan yang mengambil masa selama 30 minit itu dengan pilihan urut dan skrub serta sauna terlebih dahulu. Selepas rawatan, wanita akan rasa lebih segar dan ia secara tidak langsung mengembalikan keyakinan diri mereka,” katanya yang berusia 53 tahun.

Norzila memberitahu, spa cawangan kedunya itu yang beroperasi sejak Ogos lalu turut memiliki kelebihan rawatan yang disediakan untuk muka termasuk vitamin C dan totok.

Jelasnya, kedua-dua rawatan itu memberi kelebihan tersendiri kerana kebaikan dalam perawatan wajah yang dapat menaikkan seri pada kulit dan menjadikan kulit lebih halus dan mulus serta menjadi tegang.

“Spa ini turut menawarkan rawatan mandian susu, citrus, bunga aura dan garam aura bagi melembapkan kulit, memudarkan parut, membantu mengembangkan dan menanggalkan daki degil serta melicinkan kulit agar sentiasa gebu.

Rawatan vitamin dan totok turut disediakan.

“Di Bayu Spa juga, spa kaki turut menjadi tarikan untuk mereka melegakan kesakitan otot, lenguh, sakit sendi, sengal dan kekejangan otot kaki, mengurangkan kesakitan dan keletihan kaki selepas seharian berdiri dan berjalan,” katanya yang membuka bisnes spa kerana jatuh cinta dengan bidang kecantikan.

Berkongsi kisah kejayaannya, Norzila menubuhkan spa pertamanya di Hotel Grand Blue Wave di Shah Alam enam tahun lalu.

Jelas beliau, Kinrara Resort dipilihan kerana suasana yang mendamaikan dengan panorama alam semula jadi selain satu lokasi yang selesa untuk merehatkan diri.

“Sejak Bayu Spa di buka di sini, jumlah pelanggan bukan sahaja di kalangan pengunjung Kinrara Resort sebaliknya semakin bertambah malah ada yang datang dari Kajang dan Bangi serta Putrajaya untuk mendapatkan rawatan di sini.

Selain sauna, pengunjung juga boleh memilih jakuzi.

“Melihat perkembangan itu, saya berasa lebih teruja untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik supaya nama spa ini menjadi sebutan.

“Saya suka melihat wanita cantik dan yakin dengan diri sendiri. Kecantikan itu tidak hanya merujuk kepada rupa paras. Kesihatan dan keyakinan diri akan membuatkan seseorang wanita itu tampil cantik walaupun tidak bersolek tebal,” katanya.

Norzila berkata, bagi menghargai pelanggan, parkir percuma disediakan di spa itu dengan memperkenalkan harga rawatan promosi bermula RM99 hingga RM299.

Lebih menarik katanya, Bayu Spa turut menyediakan rawatan untuk golongan lelaki dengan terapi dikhaskan daripada kaum Adam sahaja pada Sabtu.

Bagi pasangan suami isteri yang membuat rawatan bersama, tempahan awal amat dialu-alukan.

Sementara itu, orang ramai boleh mengetahui maklumat lanjut mengenai spa ini di Facebook Bayu Spa – Kinrara Resort, Puchong atau hubungi +60162718444. – MalaysiaGazette