NYON – Lyon dan Besiktas menerima hukum berat apabila digantung di pentas Eropah dan didenda 100,000 euro (RM471,394) ekoran keganasan penonton yang mengganggu aksi suku akhir Liga Europa di Perancis.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dalam satu kenyataan berkata, kelab Turki dan Perancis itu tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kejohanan di peringkat benua jika layak.
Bagaimanapun badan induk itu membuat keputusan penggantungan itu akan ditangguhkan “untuk tempoh percubaan dua tahun.
“Hukuman ini berdasarkan laporan rasmi dan bukti yang ada semasa pembentangan di badan disiplin UEFA, Badan Kawalan, Etika dan Disiplin (CEDB).
“Kami berpendapatan peminat kedua-dua kelab itu bertanggungjawab atas gangguan ketika perlawanan,” kata UEFA di sini hari ini.
Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas menyifatkan hukuman itu sebagai ‘adil’.
“Kami menghormati keputusan UEFA namun akan membuat rayuan,” katanya dalam laman web kelab berkenaan.
Jumaat lalu, Lyon dan Besiktas menyalahkan peminat lawan masing-masing kerana mencetuskan kekacauan berkenaan pada Jumaat lalu yang memaksa perlawanan tertangguh selama 45 minit.
Besiktas yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan menyalahkan polis di Lyon dan mengugut untuk melancarkan tindakan undang-undang terhadap UEFA.
Jurucakap media Besiktas, Metin Albayrak berkata, kepada stesen televisyen NTV pula menggambarkan keputusan itu adalah satu skandal.
“Keputusan yang berat sebelah oleh UEFA dengan meletakkan kami di tahap yang sama dengan Lyon di atas insiden di mana kami tidak bertanggungjawab.
“Polis Lyon sepatutnya bertanggungjawab penuh kerana insiden yang berlaku,” jelasnya.
Pada perlawanan itu, ratusan peminat lari memasuki padang dan berlarutan di luar stadium yang memaksa polis menggunakan gas pemedih mata bagi mengelak pergaduhan dan kerosakan harta awam.
Sebelum itu, pergaduhan kedua-dua peminat bermula apabila balingan objek keras dan bunga api antara satu sama lain.
Lima pegawai polis cedera dalam insiden berkenaan. – MalaysiaGazette