KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memulakan kajian semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara sejak bulan Mac 2019 bagi menambah baik model PGK sedia ada.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md JidinĀ berkata, pelaksanaan kajian ini sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia serta jabatan dan agensi berkaitan.
Menurutnya, bagi pengukuran garis kemiskinan yang lebih inklusif selaras dengan amalan antarabangsa, Multidimensional Poverty Index (MPI) juga telah diperkenal dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMK-11).
“MPI mengukur dan memantau kemiskinan dalam perspektif pelbagai dimensi merangkumi kesihatan, pendidikan, taraf hidup dan pendapatan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kadar kemiskinan di Malaysia.
Katanya, dalam mengukur kemiskinan mutlak di Malaysia, kerajaan mengguna pakai PGK yang merupakan pendapatan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan setiap ahlinya untuk membolehkan mereka hidup dalam keadaan sihat dan aktif.
PGK pada keseluruhannya merangkumi PGK makanan dan PGK bukan makanan dan penentuan keperluan PGK makanan adalah berasaskan kepada keperluan minimum tenaga/kalori bagi setiap ahli isi rumah yang mengambil kira piramid makanan dan amalan pemakanan seimbang.
Beliau berkata, sumber data utama yang digunakan untuk menentukan nilai PGK Malaysia adalah Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (PPIR&KA), Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) dan data harga daripada Indeks Harga Pengguna oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
PPIR&KA adalah berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistics, Second Edition (2011) yang diterbitkan oleh United Nations dan diterima pakai di peringkat antarabangsa.
Ia melibatkan persampelan lebih kurang 88 ribu isi rumah dari 6.97 juta isi rumah di Malaysia.
Berdasarkan penyiasatan pada tahun 2016, PGK keseluruhan di peringkat nasional adalah RM980 dan berdasarkan PGK tersebut, insiden kemiskinan mutlak di Malaysia adalah 0.4 peratus melibatkan 24,700 isi rumah. – MalaysiaGazette