Home Nasional AirAsia dakwa reka bentuk, konfigurasi kaunter imigresen punca barisan panjang

AirAsia dakwa reka bentuk, konfigurasi kaunter imigresen punca barisan panjang

KUALA LUMPUR – AirAsia dan AirAsia X mendakwa reka bentuk dan konfigurasi kaunter imigresen di Lapangan Terbang antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) yang tidak betul menyebabkan kesesakan di kaunter itu.

Kedua-dua syarikat penerbangan yang telah diberi jaminan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mengatasi masalah tersebut berkata, sehingga kini pihaknya tidak melihat pengendali lapangan terbang itu mengambil sebarang tindakan untuk menangani masalah berkenaan.

Menurutnya, MAHB memberi jaminan bahawa pengubahsuaian akan dibuat bagi menambahkan kawasan menunggu untuk kaunter imigresen sehingga ke kawasan yang kini didiami oleh premis bebas cukai.

Dakwanya, kesesakan menjadi semakin teruk setiap hari mengakibatkan para penumpang terpaksa beratur panjang, malah hingga ke pintu ketibaan.

“Kesesakan disebabkan oleh barisan yang panjang di kaunter-kaunter imigresen bagi pasport asing di klia2 berlaku setiap hari. Ia menjadi semakin teruk dan telah ramai tetamu membuat aduan kepada kami bahawa mereka terlepas penerbangan sambungan dan acara penting.

“Dalam beberapa kes, para tetamu pernah beratur lebih dari satu jam di barisan imigresen, terutamanya pada waktu puncak antara 3 pagi hingga 7 pagi, 2 petang hingga 7 petang dan 9 malam hingga tengah malam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka, Jabatan Imigresen sangat memahami dan membantu dalam memastikan semua kaunter dibuka pada waktu puncak.

Selain itu, tambah Riad dan Benyamin, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Jabatan Imigresen kerana kawasan lantai serta susun aturnya di klia2, termasuk untuk menambah kaunter dan kawasan menunggu yang lebih luas adalah di bawah bidang kuasa MAHB.

“Sebagai badan kawal selia yang melindungi pengguna perkhidmatan penerbangan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga perlu memberi perhatian terhadap masalah ini agar ianya dapat ditangani dengan segera,” kata mereka. – MalaysiaGazette