Home Nasional Naib Canselor punca protes, kata Presiden MCA

Naib Canselor punca protes, kata Presiden MCA

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong bercakap kepada media semasa hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang membuat protes terhadap Naib Canselor, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim semasa Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-59 baru-baru ini berhak menyatakan pandangannya seiring dengan amalan kebebasan bersuara.

Malah Presiden MCA yang menyokong pendirian Wong Yan Ke bahawa ucapan berunsur perkauman daripada Naib Canselor tersebut merupakan punca protes yang dilakukannya itu.

Bagaimanapun Wee Ka Siong tidak bersetuju dengan pemilihan tempat dan masa yang digunakan mahasiswa itu untuk menyatakan ketidakpuasan hati dan pandangannya.

“Kena tahu asingkan isu, adakah ia di tempat dan majlis yang sesuai untuk menyatakannya, terutamanya di majlis graduasi hari yang kita panggil hari konvokosyen.

“Adakah itu masa yang terbaik untuk mana-mana pelajar tunjukkan atau suarakan ketidakpuasan hati.

“Saya rasa ramai yang tidak berpuas hati tentang perkara ini. Tapi selagi kebebasan bersuara diamalkan saya rasa semua orang berhak menyatakan pandangannya.

“Kamu boleh utarakan ketidakpuasan hati terhadap ucapan VC. Saya rasa ini hak pelajar,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Selepas bertindak mengangkat plakad melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universitinya pada 14 Oktober lalu, Yan Ke semalam dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Petaling semalam.

Meskipun wujud petisyen mendesak mahasiswa itu memohon maaf namun Yan Ke berpendirian Abdul Rahim yang patut bertindak sedemikian.

Mengulas lanjut, Ka Siong kecewa dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Timbalannya, Teo Nie Ching yang sehingga kini mengunci mulut kerana sepatutnya mereka berdua mengambil tindakan tegas bertepatan dengan situasi agar perkara ini tidak berulang.

Tambah beliau, tindakan mendiamkan diri menunjukkan mereka berdua tidak sensitif kepada apa yang berlaku.

“Tetapi secara keseluruhannya, saya kecewa khususnya dengan Maszlee dan Teo Nie Ching, mereka patutnya bersuara dan perkara kini di bawah kementerian mereka. Sepatutnya mereka berdua tidak biarkan ini berlaku sehingga tidak terkawal.

“Sepatutnya kamu (Menteri Pendidikan) lebih sensitif terhadap semua perkara ini. Tidak boleh berdiam diri, kena ada tindakan segera dari kerajaan untuk berbincang dengan universiti,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Sehingga kini KPM masih belum mengeluarkan kenyataan tentang tindakan mahasiswa membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia” selepas mengambil skrol ijazahnya Isnin yang lalu.

Maszlee hanya menyuarakan pandangannya pada 8 Oktober lalu dengan berkata, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang tidak berpuas hati dengan Naib Canselor universiti itu sepatutnya mengadakan perjumpaan empat mata. -MalaysiaGazette