Home Nasional 10 peratus remaja cenderung bunuh diri

10 peratus remaja cenderung bunuh diri

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (tengah) meluangkan masa melawat ruang pameran pada Majlis Pelancaran Kempen Nasional Let's Talk Minda Sihat sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia di Institut Latihan DBKL, Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2015 mendapati bahawa 3 daripada 10 orang berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah mental.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kajian sama pada 2017 mendapati 10 peratus remaja yang berumur 13 hingga 17 tahun mempunyai idea untuk bunuh diri.

“Sebanyak 18.3 peratus mengalami tanda-tanda kemurungan, 7.3 peratus pula remaja mempunyai rancangan untuk bunuh diri manakala 7.9 peratus telah melakukan cubaan bunuh diri.

“Tren ini menunjukkan peningkatan berbanding daripada hasil kajian pada 2012,” katanya berucap pada Pelancaran Kempen Nasional Let’s Talk Minda Sihat Sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Institut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras, di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, pelbagai usaha dilaksanakan KKM untuk menangani masalah mental yang kian meningkat termasuk melalui kempen Let’s Talk Minda Sihat.

“KKM pada 2015 mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam masyarakat berumur 16 tahun ke atas adalah 29.2 peratus, iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding 1996.

“Setiap tahun Hari Kesihatan Mental disambut di seluruh dunia pada 10 Oktober dengan tema berbeza-beza.

“Pada tahun ini Hari Kesihatan Mental akan tertumpu kepada cegah bunuh diri dengan tema Sayangi Nyawa, Hidupkan Harapan,” katanya.

Beliau juga berkata, beban masalah kesihatan mental di negara ini semakin membimbangkan.

“Ini adalah kerana stigma mengenai masalah kesihatan mental dan penyakit mental masih wujud dalam kalangan masyarakat.

“Stigma atau salah falam ini menjadi batu penghalang untuk seseorang yang mangalami masalah atau penyakit mental ini mendapatkan bantuan rawatan profesional yang lebih awal,” katanya. – MalaysiaGazette