KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya tidak memperuntukkan dana khas dalam menangani wabak denggi yang kian meningkat sejak 15 tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu, kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM9 juta bagi menangani virus bawaan nyamuk aedes ini.
“Kalau tidak silap saya, denggi itu ada peruntukan RM9 juta (Kerajaan Persekutuan) dan Kerajaan Negeri Selangor sendiri mempunyai RM3 juta
“Jadi itu saja ada RM12 juta. Saya akan memperhatikan perkara ini dengan lebih terperinci
“Denggi sebagai satu wabak yang telah meragut nyawa dan mengalami peningkatan sangat serius, mobiliti sebanyak 100 peratus dan mortaliti sebabnya 70 peratus perlu diberi tumpuan dan tekanan,” katanya ketika ditemui pemberita di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cheras, di sini, hari ini.
Selasa lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mendakwa tiada peruntukan khas untuk menangani denggi dalam Belanjawan 2020.
Mat Nadzari berkata, dana khas itu diperlukan bagi memastikan statistik kes denggi yang kini mencecah lebih 38,000 kes di seluruh Malaysia dan lebih 22,000 kes di Selangor dapat diatasi segera.
Menurut Mat Nadzari, sejak Pakatan Rakyat (PR) dan kini PH memeritah Selangor, tiada sebarang usaha proaktif dilakukan untuk menurunkan kes denggi terbabit.
Dalam pada itu, Dzulkefly juga berkata, usaha menangani denggi sudah pun dimulakan pihaknya dengan pendekatan baharu termasuk program nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia.
“Kita baru memulakan program nyamuk berwolbachia, itu satu agenda dan pendekatan baru.
“Kita mahu menyaksikan satu kesan yang baik.
“Sementara itu, kita juga menggunakan Kepintaran Buatan di mana ada 2 projek rintis di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya komited untuk memastikan kadar kematian dan kes melibatkan virus aedes ini dapat diturunkan menjelang tahun depan.
“Kita akan terus cari jalan (penyelesaian) sebab denggi merupakan wabak yang mengancam nyawa seluruh dunia
“Ia juga mungkin bersangkut dengan perubahan iklim dan suhu yang meningkat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette