BELANJAWAN Malaysia 2020 dengan tema ‘Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi’ adalah sebahagian daripada falsafah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WBK2030) yang berpaksikan model pertumbuhan inklusif demi kemakmuran rakyat.
WKB2030 ialah dokumen yang menggariskan matlamat sepuluh tahun untuk penstrukturan semula ekonomi ekonomi kemahiran rendah Malaysia kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, dengan rakyat menikmati standard kehidupan yang baik.
WKB2030 adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.
WKB 2030 akan memberi fokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar.
Kita harus kurangkan jurang antara negeri kaya dan miskin. Ini bermakna tumpuan akan diberikan kepada negeri miskin, jika kita dapat tingkatkan pendapatan mereka
Justeru, pendapatan golongan pekerja perlu dipertingkatkan dengan memberikan mereka latihan dan memastikan mereka lebih produktif, bukan dengan cara hanya memberikan subsidi mahupun menaikkan gaji.
Kita beri latihan kepada mereka supaya mereka ada kecekapan untuk membuat kerja yang lebih canggih.
Kita kena mengubah cara berfikir daripada mengajar cara ‘memancing ikan’ kepada mentaliti memimpin ‘industri perikanan’. Apatah lagi inisiatif memberi íkan’sudah dianggap tidak produktif.
Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2020 membabitkan RM64.1 bilion, peningkatan sebanyak RM3.9 bilion berbanding RM60.2 bilion pada belanjawan tahun ini.
Peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk melabur dalam pembangunan modal insan dengan mengarus perdana Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan meningkatkan peruntukan daripada RM5.7 bilion pada tahun ini kepada RM5.9 bilion pada tahun depan.
Usaha memperkasakan TVET bukan sahaja merupakan agenda memenuhi keperluan gunatenaga industri semata-mata malahan menjadi pemangkin kepada inisiatif merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar.
Agenda ini boleh diterajui oleh Universiti Teknikal Awam berasaskan keusahawanan sosial.
Tahap pemikiran dan kemahiran masyarakat bergantung kepada setakat mana wacana awam digerakkan dan pahlawan penggerak wacana ini tidak lain tidak bukan ialah universiti.
Universitilah yang memandu kecerdikan masyarakat, Universiti jua yang memainkan peranan untuk mengeluarkan masyarakat daripada kemelut ketidaktahuan dan ketidakpedulian terhadap ilmu dan kemahiran.
Masyarakat saat ini memerlukan banyak pahlawan baharu di dalam bidang keusahawanan sosial supaya masalah kemiskinan, pendidikan, kesihatan serta peluang pekerjaan dapat di selesaikan dengan orientasi keusahawanan agar menciptakan negara yang lebih sejahtera, makmur dan adil merata.
Pengertian mudah keusahawanan sosial adalah usaha menyelesaikan permasalahan sosial dan menggunakan kemampuan keusahawanan untuk melakukan perubahan sosial terutama meliputi bidang kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.
Jika keusahawanan korporat mengukur keberhasilan dari prestasi kewangan yang mengukur keuntungan ataupun pendapatan maka keusahawanan sosial pula diukur dari manfaat yang dirasakan oleh masyarakat.
Agenda tetap penubuhan Universiti juga perlu dilihat relevan dalam sumbangannya kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.- MalaysiaGazette
Oleh DR. MOHAMAD ROZI HASSAN, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang (UMP) merangkap Penasihat Teknikal Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB)