MELBOURNE – Syarikat penerbangan Australia, Qantas selesai melakukan ujian penerbangan tanpa henti dari New York ke Sydney dalam usaha mencari jalan menawarkan perkhidmatan penerbangan terjauh dunia yang mengambil masa hampir 20 jam yang akan memberi kesan kepada juruterbang, krew dan penumpang.
Penerbangan, QF 7879 yang menggunakan pesawat Boeing, B787-9 Dreamliner yang membawa 50 penumpang dan anak kapal mendarat di Sydney pagi ini dengan mengambil masa selama 19 jam 16 minit setelah terbang sejauh 16,200 kilometer, lapor Reuters.
“Ia merupakan saat sejarah untuk Qantas, benar-benar saat bersejarah untuk penerbangan Australia dan benar-benar saat bersejarah untuk dunia penerbangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce yang turut menyertai penerbangan tersebut selepas mendarat.
Berikutan permintaan pengembaraan udara yang tumbuh pantas dan prestasi pesawat yang lebih baik, syarikat penerbangan mula melihat kepada perjalanan ultra jauh.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangka bilangan penumpang udara tahunan dunia tumbuh daripada 4.6 bilion orang pada tahun ini kepada 8.2 bilion orang pada 2037.
Tiada pesawat komersial dengan muatan penumpang dan kargo yang maksimum terbang pada jarak jauh ultra sedemikian setakat ini.
Tujuan penerbangan itu dilakukan bagi mengumpul data, dengan pasukan penyelidik memantau, antaranya aspek penumpang yang membabitkan pencahayaan, aktiviti, tidur dan penggunaan serta kadar hormon melatonin krew.
Menurut kenyataan Qantas, penyelidikan itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan meminimumkan ‘jet lag’ selain mengenalpasti tempoh rehat dan bekerja anak kapal yang optimum.
“Daripada dua komponen, penerbangan ini sangat berjaya, yang pertama ialah penyelidikan.
“Dan juga pencapaian hebat jarak, penerbangan malam tadi ialah 16,200 kilometer. Kami berada di udara selama 19 jam 16 minit dan kami mendarat di Sydney dengan minyak berbaki selama 70 minit penerbangan,” kata juruterbang Qantas, Kapten Sean Golding.
Syarikat penerbangan itu juga merancang untuk menguji penerbangan tanpa henti dari London ke Sydney dan dijangka membuat keputusan mengenai perkara itu pada akhir tahun ini sama ada untuk memulakan laluan tersebut yang mungkin dilakukan pada 2022 atau 2023. – Agensi