JOHOR BAHRU – Kemampuan Selangor meledakkan satu gol ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di sini, malam tadi, disifatkan amat penting, walaupun kalah tipis.
Ketua jurulatihnya B. Satiananthan berkata, ini kerana gol tersebut bakal memberi kelebihan dan keyakinan kepada Red Giants untuk mencipta kejutan apabila bertemu semula dengan JDT pada perlawanan timbal balik minggu hadapan bagi penentuan ke peringkat akhir.
“(Jaringan) ini merupakan satu petanda yang baik tetapi tugas kami belum lagi berakhir kerana perlu bekerja keras minggu ini bagi mendapatkan hasil keseluruhan yang baik,” katanya dalam sidang media sejurus tamat perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin di sini, lewat malam tadi.
Mengulas perlawanan itu, Satiananthan berkata pujian seharusnya diberikan kepada semua anak buahnya terutama pemain tengah, Sandro da Silva dan penyerang, Ifedayo Olusegun kerana telah menunjukkan komitmen dan aksi yang cemerlang.
“Separuh masa pertama kita kelam kabut. Apabila dapat bola, kami cepat sangat hilang bola. Itu kelemahan yang nyata tetapi memasuki babak kedua, kami sudah membina momentum dan mencipta banyak peluang, ini yang menjadikan permainan nampak lebih menarik.
“Kepada Sandro, saya ucapkan syabas walaupun tidak pernah main selama dua bulan setengah. Dia telah dapat mengawal dan memegang bola dengan baik sekali, begitu juga Ifedayo. Saya sukakan rentak yang dilakukannya dan berharap ia dapat diteruskan ketika beraksi di Shah Alam, nanti,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih JDT Benjamin Mora berkata tugas getir menanti pasukannya minggu hadapan apabila harus memastikan pihak lawan tidak menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan.
“Tetapi saya mempunyai kata hati (firasat) bahawa JDT akan dapat menjaringkan gol kerana itu yang sentiasa dilakukan pasukan setiap kali bermain di tempat lawan. Apapun, ini adalah bola. Kami tidak boleh terlalu selesa apatah lagi Selangor juga mempunyai keinginan untuk menang dan mara ke final,” katanya.
Pada perlawanan mendebarkan malam tadi, Harimau Selatan mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor, hasil jaringan pemain Muhammad Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez pada minit ke-14 dan 48 manakala gol Selangor disempurnakan oleh Ifedayo pada minit ke-17. – MalaysiaGazette