KUALA LUMPUR – Pelabur asing membeli sebanyak RM184.6 juta ekuiti tempatan minggu lalu berbanding pelupusan berjumlah RM276,6 juta pada minggu sebelumnya.
Dalam laporan aliran dana mingguannya, MIDF Amanah Investment Bank Berhad Research berkata, bursa telah menyaksikan 14 minggu belian pelabur asing dalam tempoh 42 minggu.
Menurutnya, pelabur asing menyaksikan aliran keluar yang sederhana sebanyak RM10.7 juta pada hari Isnin disokong oleh sentimen positif antara Amerika Syarikat (AS)-China berhubung perang perdagangan dan lanjutan daripada Belanjawan 2020 yang dibentang pada minggu sebelumnya.
Paras jualan bersih pelabur asing meningkat kepada RM21.3 juta pada hari Selasa kerana para pelabur mencari tanda-tanda konkrit berhubung rundingan perdagangan untuk mengekalkan optism mereka.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing membeli sebanyak RM187.1 juta ekuiti tempatan pada hari Rabu-tertinggi pada minggu lepas, disusuli dengan penutupan bursa lebih tinggi 0.6 peratus pada tempoh dua minggu kepada 1,574.9 mata.
Ia disebabkan para pelabur meraikan suntikan tunai AS$28 juta oleh China dalam sistem kewangannya, selain Hong Kong mengumumkan pendekatan untuk merangsang pertumbuhannya.
“Dana-dana luar pesisir terus memasuki bursa pada hari Khamis dengan belian AS$107.9 juta meskipun jualan runcit AS lemah hingga membawa kepada unjuran penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan,” menurut MIDF Research.
Selera membeli pelabur asing pada hari Jumaat menurun dan menyaksikan penjualan sebanyak ekuiti sebanyak RM78.3 juta, disebabkan peluasan ekonomi China paling perlahan dalam tempoh tiga dekad dengan pelaburan dan pengeluaran kilang yang lemah.
Setakat ini, pelabur asing telah membawa keluar sejumlah RM790.4 juta daripada Bursa Malaysia. – MalaysiaGazette