HARARE – Sekurang-kurangnya 55 ekor gajah mati kelaparan di Taman Negara Hwange sejak dua bulan lalu disebabkan kemarau yang teruk.
Keadaan amat mengerikan, kata jurucakap Zimpark, Tinashe Farawo.
“Gajah mati akibat kebuluran dan ini adalah masalah besar,” katanya.
Kemarau juga telah menjejaskan hasil tanaman secara besar-besaran di Zimbabwe.
Satu per tiga penduduk dilaporkan memerlukan bantuan makanan di tengah-tengah krisis ekonomi yang berlaku.
Pada bulan Ogos, laporan Program Makanan Dunia mengatakan dua juta orang berisiko kelaparan di negara ini.
Beberapa bangkai gajah ditemui dalam jarak kira-kira 50 meter dari kawasan takungan air – menunjukkan haiwan ini telah mengembara jauh dan mati sebelum sampai ke tempat yang dituju.
Gajah telah menyebabkan “kemusnahan besar” tumbuh-tumbuhan di Hwange, kata Farawo.
Taman ini boleh menampung kira-kira 15,000 gajah tetapi kini mempunyai lebih daripada 50,000.
Zimparks – yang tidak mendapat pembiayaan kerajaan – telah berusaha untuk menggerudi telaga tetapi tidak mempunyai wang untuk diteruskan, tambah Farawo.
Bangkai-bangkai gajah banyak ditemui di lubang air kosong.
Taman Negara Hwange bukan sahaja mengalami masalah kekurangan hujan tetapi jumlah gajah yang terlampau banyak.
Keadaan itu menyebabkan haiwan-haiwan ini berkeliaran di kawasan luar taman untuk mencari makanan dan dalam proses itu gajah-gajah ini telah membunuh 22 orang penduduk tempatan. – MalaysiaGazette