KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai ‘pekak, tuli dan bisu’ apabila Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk A.Kadir Jasin mula bersuara dan melahirkan rasa kurang senangnya terhadap pemerintah itu di akaun Facebooknya, semalam.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, berdasarkan status itu, ia jelas menunjukkan wartawan veteran itu mengakui gagal menasihati Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Itu maknanya, kerajaan PH sudah tidak boleh dinasihati. Pekak, tuli dan bisu.
“Sebagai penasihat komunikasi strategik, memang Kadir gagal mengawal keceluparan mulut Tun Dr. Mahathir,” katanya yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini.
Beliau mengulas status terbaru Kadir yang dimuatnaik di Facebooknya yang antara lain menyebut ’17 bulan sudah berlalu. Masa menasihat sudah tamat. Sekarang hantam sajalah’.
Dalam pada itu, Puad berkata, kegagalan Kadir mengawal keceluparan mulut Mahathir hingga menyebabkan Kerajaan India memboikot kelapa sawit Malaysia yang menyebabkan negara dan pekebun sawit menanggung kesengsaraan.
“Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) juga gagal menasihati Perdana Menteri. Ekonomi negara bukan bertambah baik tetapi bertambah parah. Sebab itu CEP dibubarkan.
“Dalam Belanjawan 2020, defisit meningkat kepada 3.2 peratus. Hutang negara terus naik mendadak. Ringgit dan bursa saham menjunam,” katanya.
Menurut Puad, Mahathir bukan sahaja tidak boleh dinasihati bahkan Perdana Menteri itu sendiri gagal menasihati jemaah menteri.
“Penyakit Tun Dr Mahatir telah berjangkit kepada menteri-menteri PH yang semakin “bungol”.
“Perdana Menteri memperlekehkan menterinya dalam isu kereta terbang. Mahathir kata, macam mana nak buat kereta terbang, terpaksalah polis terbang untuk kawal lalu lintas yang sesak.
“Kalau menteri pun kena hantam oleh Perdana Menteri maka pendirian Kadir itu adalah betul,” katanya.
Katanya, tidak hairanlah jika Kadir menghentam Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang sebelum ini mendapat pujian beliau sendiri.
“Pada beliau kebodohan Loke bercakap sesuka hati di depan “fund managers” menyebabkan saham MAHB jatuh teruk.
“Tindakan Loke pada beliau umpama menembak kakinya sendiri dan kepala GLCs. Mungkin sengaja untuk menjatuhkan saham MAHB dan orang lain boleh beli dengan harga murah.
“Justeru kalau menteri-menteri pun hantam sajalah, maka apa salahnya rakyat pun hantam balik. Jom kita hantam PH di Tanjong Piai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette