Home Seni Hidup Fazley dipilih World Top Outstanding Master Chef Awards 2019

Fazley dipilih World Top Outstanding Master Chef Awards 2019

KUALA LUMPUR – Cef selebriti dan penyanyi popular, Datuk Fazley Yaakob, 41, diumumkan sebagai World Top Outstanding Master Chef Awards sempena World Top Gourmet Awards 2019 yang diadakan baru-baru ini.

Selain mewakili Malaysia, Fazley yang merupakan bekas juara MasterChef Celebrity 2012 itu menerima anugerah tersebut bersama individu dari seluruh dunia termasuk Cef Chen Hong mewakili Taiwan, Cef Adam Wong (Hong Kong), Cef Jeeraphon Ritthep (Thailand), Cef Gabriel Bonnin Roig (Sepanyol), Cef David Kim Dong-Hyun (Korea Selatan) dan Cef Stefu Santoso (Indonesia).

Cef dari Malaysia yang turut menerima kategori sama Fazley ialah Cef Amy Beh, Cef Valmurugan Subramaniam, Cef James Ho Soon Boon, Cef Bernard Lee, Cef Lim Wai Keong, Cef Yee Weng Ding dan Cef Alexander Chong.

Menurut Fazley, beliau teruja apabila menerima award tersebut yang dianggap seperti mimpi apatah lagi ia memberi apresiasi kepada golongan cef dalam memartabatkan kreativiti bidang masakan ke tahap lebih tinggi.

“Sudah pasti saya gembira apabila diberitahu oleh pihak penganjur tentang kemenangan ini, namun saya anggap ia sebagai bonus untuk saya terus melipat ganda usaha dalam dunia kulinari sekali gus membawa nama Malaysia lebih tinggi di persada dunia.” kata pemilik SukaSucre Bistro itu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Turut hadir ialah Presiden World Top Gourmet, Peggy Chong.

Selain World Top Outstanding Master Chef Awards, World Top Gourmet Awards 2019 turut memberikan penghargaan dalam kategori World Top Outstanding Personality & Organisation Awards.

Ini merupakan tahun ketiga penganjuran World Top Gourmet Awards yang bertujuan memberi penghargaan kepada golongan cef dalam memperlihatkan sumbangan paling menyerlah dalam dunia kulinari di peringkat antarabangsa.

Pemenang ditentukan menerusi pelbagai peringkat saringan sebelum diaudit mengikut piawaian tertentu berdasarkan kualiti makanan, perkhidmatan/servis, pengalaman mengunjungi premis, respons pelanggan, persekitaran, menu dan lain-lain.

Antara pihak yang membuat penilaian terhadap penerima anugerah ini terdiri daripada Master Chef of The Year; Yang Berbahagia Cef Datuk Dr. Lum Tuck Loy, Datuk Cef Wan, Cef Kent Vatcharavee Visetpohchanatip, Cef Martin Yan dan Cef Jeffrey Tan.

Terdahulu, bapa kepada empat cahayamata itu dipilih sebagai Pemimpin Paling Dikagumi Di Asia 2019 anjuran Herald Global & ERTC Media yang berpengkalan di Mumbai, India pada 26 Ogos lalu. – MalaysiaGazette