Home Nasional Dosa besar seleweng, salah guna wang zakat

Dosa besar seleweng, salah guna wang zakat

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor mengingatkan agensi atau individu yang berurusan dengan Lembaga Zakat Selangor
supaya tidak menyalahgunakan wang zakat dan sentiasa jujur dalam setiap urusan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, mereka yang menyelewengkan wang zakat ini adalah berdosa besar dan hendaklah dikenakan tindakan dan diberi hukuman yang sewajarnya.

Lantaran itu, titah baginda, Lembaga Zakat Selangor perlu sentiasa telus mengenai jumlah kutipan dan agihan zakat
yang dilakukan.

“Beta difahamkan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor, pada tahun lepas pembayaran zakat daripada syarikat-syarikat korporat yang beroperasi di Negeri Selangor ini hanya menyumbangkan sebanyak 20% daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat di Negeri Selangor.

“Daripada maklumat tersebut, Beta yakin kutipan zakat di Negeri Selangor akan bertambah sekiranya lebih banyak syarikat-syarikat korporat di Negeri Selangor ini mengeluarkan zakat kepada Lembaga Zakat Selangor.

“Dengan itu, jumlah pembayaran zakat akan bertambah kepada golongan asnaf. Ini secara tidak langsung dapat membantu golongan miskin di Negeri Selangor untuk sama-sama menikmati hasil kekayaan Negeri Selangor,” ujar baginda semasa menghadiri Program Round Table bersama Syarikat-Syarikat Korporat Muslim anjuran Lembaga Zakat Selangor.

Menurut Sultan Selangor, mengikut kajian Universiti Teknologi MARA (UiTM), keperluan bantuan zakat kepada golongan asnaf di Negeri Selangor pada tahun 2017 dan yang akan datang terus bertambah kerana penambahan penduduk dan juga keluarga yang kurang berkemampuan.

Mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah adalah dikategorikan sebagai miskin bandar.

Fenomena ini ekoran perpindahan penduduk ke Negeri Selangor kerana mencari kerja atau bekerja di sektor yang mempunyai upah yang rendah.

Jelas baginda, krisis ekonomi dan penambahan kadar pengangguran serta kenaikan harga barang akan menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah yang boleh menyebabkan bertambahnya jumlah asnaf atau orang miskin di Negeri Selangor.

“Oleh itu dengan adanya pembayaran zakat daripada syarikat-syarikat korporat di Negeri Selangor ini boleh menambahkan kutipan dan agihan zakat kepada mereka yang layak menerimanya,” kata baginda sambil menasihat Lembaga Zakat Selangor supaya mencari kaedah membantu golongan asnaf atau penerima zakat ini untuk menambahkan pendapatan mereka.

Dengan cara itu, golongan tersebut akan keluar daripada garis kemiskinan serta dapat menaikkan taraf ekonomi sendiri sebagai seorang usahawan sehingga menjadi seorang yang mampu mengeluarkan zakat perniagaan. – MalaysiaGazette