PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun ke atas dua lelaki adik beradik yang sabit kesalahan menggalakkan keganasan di negara ini dengan merancang menguji bahan letupan di Gunung Nuang di Hulu Langat, Selangor.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed yang mengetuai panel lima anggota menolak rayuan peniaga baja Mohd Anwar Azmi, 36, dan adiknya Mohd Nurkamal, 33, terhadap sabitan dan hukuman penjara mereka.
Panel itu juga mengekalkan hukuman penjara 20 tahun ke atas dua lelaki lain – penjual minuman Izwan Shameer Suzaimi, 28, dan pekerja kedai tayar Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 25, — atas kesalahan serupa.
Panel yang terdiri daripada Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Tan Sri Idrus Harun, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun ke atas belia bawah umur kerana melakukan kesalahan serupa.
Ketika menolak rayuan mereka, Hakim Azahar berkata sabitan itu adalah munasabah.
Mahkamah juga menolak rayuan pihak pendakwa atas hukuman dua beradik itu.
Hakim Azahar berkata, mahkamah mendapati hukuman Mahkamah Rayuan ke atas dua beradik tersebut tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan, oleh itu tiada sebab mahkamah harus mengganggunya.
Menurut pertuduhan itu, kelima-lima lelaki itu dikatakan telah bersetuju dalam kalangan mereka untuk mempromosi (menggalakkan) keganasan dengan mencetuskan huru hara dengan mengebom pusat-pusat hiburan di ibu negara.
Mereka didapati bersalah melakukan jenayah itu di Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat, Selangor antara 7 malam 24 April 2015 dan 1 pagi hari berikutnya.
Pada 12 Mei, 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun ke atas dua beradik itu sementara dua rakan mereka masing-masing dihukum penjara 20 tahun dan pemuda itu 12 tahun setelah mereka didapati bersalah melakukan jenayah itu.
Mahkamah Rayuan pada Ogos, 2017, mengurangkan hukuman penjara dua beradik itu dari 25 tahun ke 20 tahun.
Bagaimanapun, mahkamah itu mengekalkan hukuman penjara ke atas tiga yang lain yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tiinggi. – Bernama